Kes Covid-19 turun, 4,854 hari ini

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bilangan kes harian Covid-19 kembali di bawah angka 5,000 apabila sebanyak 4,854 dilaporkan pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,586,601 kes.

"Berdasarkan rekod, daripada 4,854 kes harian yang dilaporkan pada hari ini (Ahad), 86 kes atau 1.8 peratus adalah kategori tiga, empat, dan lima.

"Selebihnya, 4,768 kes atau 98.2 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dan dua," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, sebanyak 5,525 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif 2,487,809 orang atau 96.2 peratus.

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah 541 kes, yang mana 420 kes disahkan positif Covid-19.

"121 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan," katanya.

Mengulas mengenai kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula, Noor Hisham berkata, ia membabitkan sebanyak 267 kes.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat tiga kluster baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 5,881 kluster.

"Secara keseluruhan, jumlah kluster aktif ketika ini adalah sebanyak 235," katanya.

Pada Sabtu, Malaysia mencatatkan 5,859 kes baharu Covid-19.