5,849 hektar padi di Pendang ditenggelami banjir

No Image Caption
A
A
A

PENDANG - Seluas 5,849 hektar tanaman padi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini ditenggelami banjir akibat hujan lebat bermula 17 Oktober sehingga 2 November dengan jumlah hujan antara 157milimeter (mm) hingga 331mm.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kejadian banjir itu juga diikuti fenomena air pasang besar yang bermula pada 4 November hingga 7 November lalu.

Menurutnya, pihaknya telah memanjangkan laporan tersebut bagi pertimbangan Tabung Bencana Tanaman Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membantu pesawah MADA yang terjejas.

"Bancian sudah mula dibuat di kawasan terlibat banjir bermula sejak kejadian hingga Disember ini nanti bagi menentukan kerosakan yang berlaku. Bancian ini akan diangkat ke Jawatankuasa Teknikal untuk pertimbangan sebagai bantuan.

"Dari sudut benih padi pula, kita telah berhubung dengan pengeluar di dalam kawasan MADA dan mereka kata bekalan benih cukup untuk petani membuat tanaman semula di kawasan terlibat banjir," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, Titi Haji Idris, dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI-Prihatin MADA kepada 618 keluarga petani yang dirasmikan Ahli Parlimen Pendang merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Hayati Othman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, MADA telah melaksanakan sebanyak 78 Program MAFI Prihatin sejak Januari 2021 yang melibatkan keseluruhan kawasan Muda dengan jumlah penerima sumbangan seramai 8,776 orang dengan peruntukan sebanyak RM664,443.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penerima sumbangan itu tergolong daripada peladang-peladang yang terjejas dengan bencana alam dan terkesan disebabkan oleh pandemik Covid-19 serta petugas barisan hadapan.