X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

JPJ catat empat kematian akibat Covid-19

Aminurrahim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Badan Khairat Kematian JPJ Malaysia (BAQA) berjumlah RM10,000 kepada kepada Mek Limoh (dua dari kiri), dan Mohamad Amirul (kiri) di Kampung Karang, Banggu, Kota Bharu pada Ahad.
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 560 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negara ini dijangkiti Covid-19 dengan empat daripadanya membabitkan kematian dalam tempoh bermula Mac tahun lalu sehingga Ahad.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed berkata, daripada jumlah itu, lebih 50 peratus adalah jangkitan yang diperoleh daripada penugasan antaranya menjadi kontak rapat kepada pelanggan di kaunter.

“Keseluruhannya seramai 560 anggota JPJ yang dijangkiti Covid-19 dengan 531 kes pada tahun ini manakala 29 kes lagi dijangkiti tahun lalu.

“Mereka turut dijangkiti Covid-19 ketika penugasan di lapangan termasuk dalam operasi penguatkuasaan manakala selebihnya adalah jangkitan dari luar,” katanya ketika ditemui di Kampung Karang, Banggu di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Badan Khairat Kematian JPJ Malaysia (BAQA) berjumlah RM10,000 kepada waris Allahyarham Siti Saraf Ismail, 25, di Kampung Karang, Banggu, di sini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah JPJ Negeri Kelantan, Tuan Nik Azehan Ab Hadi.

Sumbangan disampaikan kepada ibu Allahyarham Siti Saraf, Mek Limoh Ismail, 64, dan suami, Mohamad Amirul Akmal Aziz, 25.

Dalam perkembangan sama, Aminurrahim berkata, lebih 99 peratus daripada 8,700 pegawai dan anggota JPJ sudah lengkap suntikan vaksin Covid-19.

“Hanya satu peratus lagi belum terima vaksin atas alasan tertentu dan pihak kami menggunakan kaedah motivasi untuk memujuk mereka supaya menerima vaksin Covid-19.

“Kami mendapati 73 orang sahaja yang tidak mahu divaksin, namun hasil motivasi yang diberikan sudah ada perkembangan positif apabila sebahagian daripada mereka yang sudah mengambil suntikan,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun dalam keadaan Covid-19, anggota dan pegawai JPJ tetap melakukan tugasan untuk memenuhi keperluan masyarakat.

"Saya mengingatkan kepada orang awam yang ingin berurusan di kaunter JPJ tetapi mempunyai kontak rapat dengan mana-mana individu yang dijangkiti Covid-19 agar menangguhkan terlebih dahulu bagi mengelakkan jangkitan.

“Ini penting untuk sama-sama kita menjaga kerana tugas JPJ sebagai pasukan petugas barisan hadapan yang perlu berdepan dengan orang ramai,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) Siti Saraf Ismail, 25, meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, pada jam 12.30 tengah hari.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas sehari selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Mohamad Amirul Akmal Mohd Aziz, 25, pada 23 Oktober lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!