X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

PRN Melaka: Zahid, Ab Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP

Ahmad Zahid (kiri) dan Ab Rauf masing-masing dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP PRN Melaka.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun bernilai RM10,000 setiap seorang membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

KKM dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, kedua-dua individu itu didakwa menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

Ia selepas pihak KKM menjalankan siasatan melalui video tular di media sosial dan mendapati telah berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh PRN Melaka oleh kedua-dua individu tersebut pada 19 November 2021 di kawasan Masjid Tanah.

Kompaun yang dikeluarkan berkenaan bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Menurut kenyataan itu juga, SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November 2021 sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ini bagi memastikan pilihan raya ini dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

KKM katanya akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP.

KKM juga menyeru seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada arahan SOP, sentiasa prihatin kepada keselamatan rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!