Kempen digital tanpa semuka PRN Melaka wujudkan segmentasi baharu

Noor Nirwandy
Noor Nirwandy
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen digital tanpa bersemuka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah berjaya mewujudkan segmentasi baharu dalam perang saraf, gerak saraf dan propaganda politik.

Penganalisis keselamatan dan politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kreativiti dan eksplorasi idea positif dari calon parti untuk mendekati masyarakat pengundi secara maya telah membina tatacara baharu kempen politik negara.

“Inovasi perang saraf dan gerak saraf serta propaganda politik dalam kempen PRN Melaka dilihat lebih positif oleh calon-calon yang bertanding.

“Propaganda politik seperti pembunuhan karakter, sindiran melampau, tohmahan dan lain-lain pendekatan perang saraf dan gerak saraf secara negatif tidak lagi digunakan oleh calon-calon yang bertanding khususnya dalam kalangan muka baharu politik negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, pembaharuan tersebut perlu dikekalkan kerana propaganda politik serta gerak saraf yang terbaik adalah kempen yang positif dan berkepentingan rakyat sepenuhnya.

“PRN Melaka membuktikan amalan demokrasi negara menuju ke arah yang lebih positif.

“Walaupun peratusan keluar mengundi tidak menepati sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang dirancang dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan memperlihatkan negara mampu mengadaptasi norma terkini dalam memastikan amalan demokrasi dan kepentingan negara berjaya dilaksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, teras melalui Dasar Keselamatan Negara oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menggariskan kepentingan kestabilan sosio politik antaranya adalah melalui membudayakan persekitaran politik sihat dan matang.

Artikel Berkaitan:

“Keselamatan politik perlu dijayakan oleh calon serta pemimpin parti untuk terus meyakinkan masyarakat terhadap kemampuan ahli politik negara melalui kempen propaganda serta gerak saraf positif berkepentingan rakyat,” jelasnya.