PPS kembali dibuka di Kedah

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah pusat penempatan semula (PPS) kembali dibuka di Kedah berikutan hujan lebat lebih dua jam sehingga menyebabkan beberapa kawasan di Kubang Pasu dilanda banjir kilat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, PPS itu adalah Dewan Kampung Lahar yang dibuka jam 9 malam pada Sabtu.

Menurutnya, seramai 31 mangsa termasuklah seorang orang kelainan upaya (OKU) dari tujuh keluarga dipindahkan ke PPS tersebut selepas Kampung Lahar dan Kampung Paya Tok Keong di mukim Malau dinaiki air.

"Difahamkan, hujan lebat bermula sekitar jam 5.30 petang Sabtu itu telah menyebabkan beberapa kawasan di Kubang Pasu dilanda banjir kilat dan Jalan Changlun - Jitra turut dilaporkan air naik.

"Selain itu beberapa kawasan di sepanjang Jalan Kodiang-Changlun juga dilaporkan digenangi air," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Adenin memberitahu, sehubungan itu PPS Dewan Kampung Lahar dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas dan pemantauan banjir akan diteruskan sekiranya berlaku hujan lebat serta paras air sungai meningkat.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, bilangan mangsa ditempatkan di PPS itu berkurangan kepada 28 mangsa dari enam keluarga setakat jam 12 tengah hari berbanding 31 mangsa dari tujuh keluarga pada jam 8 pagi Ahad.

Artikel Berkaitan: