Dua lelaki didakwa merogol tampil serah diri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki tempatan yang didakwa merogol seorang wanita selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di sini pada malam Rabu lalu tampil menyerah diri di Balai Putra Heights pada Sabtu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, kedua-dua suspek berumur lingkungan 31 dan 38 tahun itu menyerah diri kira-kira jam 6 petang.

"JSJ kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, polis sedang mengesan dua lelaki tempatan yang didakwa merogol seorang wanita selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di sini malam Rabu.

Satu ciapan Twitter dipercayai kawan baik mangsa yang tular mendakwa kedua-dua suspek terbabit sudah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita lain selepas memasukkan dadah dalam minuman tanpa disedari mangsa.

Kamaruzaman dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu mangsa mengalami mabuk dipercayai diberi minuman mengandungi dadah.

"Mangsa dan rakannya kemudian dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota dan hanya menyedari dirinya dirogol selepas dimaklumkan oleh rakannya itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan dilakukan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol) dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian atau menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan pihak polis.

Artikel Berkaitan: