11 pemandu mabuk ditahan

Pelbagai kesalahan dikesan menerusi operasi yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad. - Foto ihsan JST Kuala Lumpur
Pelbagai kesalahan dikesan menerusi operasi yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad. - Foto ihsan JST Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu ditahan kerana memandu kenderaan dalam keadaan mabuk menerusi operasi di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur bermula jam 9 malam sehingga 4 pagi di sekitar pusat bandar, Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Bangsar dan Jalan Tun Razak.

"Seramai 11 lelaki berumur lingkungan 25 hingga 57 tahun ditahan di bawah Sek 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 164 saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

"Sembilan buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Katanya, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.