X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Solskjaer mohon maaf kerana senyum

Solskjaer
A
A

PEGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memohon maaf kerana ‘tersenyum’ biarpun skuad The Red Devils itu tumpas 1-4 kepada Watford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), di Vicarage Road pada Sabtu.

Menurut Solskjaer, reaksinya itu (tersenyum) berlaku secara spontan dan ia sama sekali tidak bermaksud apa-apa di sebalik senyuman berkenaan.

Malah Solskjaer turut berharap agar perkara itu tidak lagi dipanjangkan kerana baginya ia adalah reaksi biasa yang dilakukan oleh mana-mana individu.

“Maaf kerana saya tersenyum di sini kali ini; tetapi bagi saya ia adalah sifat semulajadi bagi manusia dan saya tidak bermaksud apa-apa.

“Secara keseluruhannya, anda pasti tidak menyangka (daripada permulaan) bagaimana pemain-pemain kami yang dibarisi pemain terbaik dan profesional beraksi pada perlawanan ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Watford membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi Joshua King sebelum Ismaila Sarr menjaringkan gol kedua pada minit ke-44.

Pemain gantian, Donny Van de Beek bagaimanapun merapatkan jurang gol buat United pada minit ke-50, namun usaha pelawat untuk menambah jaringan terbantut apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan Harry Maguire diperintahkan keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua pada minit ke-69.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Watford untuk terus mengasak ke pintu gol United dan hasilnya pemain gantian Joao Pedro dan Emmanuel Bonaventure menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan bagi memastikan kemenangan pasukan.

Kekalahan itu menyaksikan United kini berada pada kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 17 mata setelah mengharungi 12 perlawanan.

Sementara itu Solskjaer mengakui segala perancangan tidak menjadi dan tidak berpihak kepada United hingga menyebabkan kekalahan berkenaan.

“Apabila segala-galanya tidak berpihak kepada anda, ia akan berpaling untuk ‘menentang’ anda; dan apabila itu terjadi memang sukar untuk beraksi dalam keadaan mental sedemikian,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!