Ethiopian Airlines bawa penumpang dari 35 negara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pesawat Ethiopian Airlines bagi penerbangan ET302 yang terhempas berhampiran Addis Ababa, semalam serta membunuh kesemua 149 penumpang dan lapan anak kapal, membawa penumpang dari sekurang-kurangnya 35 negara.

Menteri Pengangkutan Kenya James Macharia, yang mengesahkan perkara itu dalam satu sidang akhbar di Addis Ababa pada Ahad, berkata terdapat 32 penumpang rakyat Kenya, 18 rakyat Kanada, enam dari China dan lima dari Belanda.

Penumpang lain terdiri daripada enam rakyat Mesir, sembilan dari Ethiopia, tujuh masing-masing dari Perancis dan UK, empat dari India, lapan dari Itali, empat dari Slovakia dan lapan dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kewarganegaraan dua lagi penumpang tidak dapat dipastikan.

Pesawat penumpang itu, yang terhempas beberapa minit sejurus berlepas, dalam perjalanan ke Nairobi dari Addis Ababa.

Dilaporkan juga bahawa beberapa penumpang dalam perjalanan untuk menghadiri satu persidangan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nairobi.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Alam Sekitar PBB, Shari Nijman, berkata pihaknya amat dukacita dengan berita mengenai nahas yang menimpa Ethiopian Airlines.

“Kami sedang mengikuti perkembangannya dengan teliti,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan agensi Alam Sekitar PBB itu pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Shari Nijman juga berkata agensi itu sedang berhubung dengan pegawai terbabit bagi mengenal pasti wakil PBB yang mungkin berada dalam pesawat tersebut.- Bernama