Perak, Pahang buat perhitungan final Piala Tun Abdul Razak

Nur Zafirah (tengah) menyumbat gol kemenangan Kuala Lumpur ketika menewaskan Melaka 1-0 pada separuh akhir Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto FB MHC
Nur Zafirah (tengah) menyumbat gol kemenangan Kuala Lumpur ketika menewaskan Melaka 1-0 pada separuh akhir Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto FB MHC
A
A
A

PERAK mara ke final buat kali keenam dalam tempoh 10 tahun bagi kategori lelaki kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2021 selepas menewaskan Terengganu 2-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Bekas pemain kebangsaan, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin menjaringkan gol pembukaan Perak menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketujuh.

Arif Sabron yang pernah menimba ilmu di Itali dengan mewakili kelab Butterfly Roma mengesahkan kemenangan Perak apabila menyumbat gol kedua hasil jaringan padang pada minit ke-46.

Pada aksi final, Perak yang juga penyandang juara akan menentang Pahang yang menewaskan Kuala Lumpur 4-3 menerusi penentuan shoot-out dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Dalam aksi tersebut, kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas aksi sebenar tamat sehingga perlawanan dilanjutkan menerusi penentuan shoot-out.

Bagi kategori wanita, Kuala Lumpur dan Pahang mengesahkan slot ke pentas final Piala Razak selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir.

Bekas penyerang kebangsaan, Nur Zafirah Aziz memastikan kemaraan Kuala Lumpur ke final apabila meledak gol kemenangan bagi menewaskan Melaka 1-0 di Padang 1 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Pahang yang juga juara bertahan memastikan slot final menjadi milik mereka selepas menundukkan Pulau Pinang 1-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir di Padang 2.

Artikel Berkaitan:

Nuriza Sulaiman menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan Pahang menerusi jaringan padang pada minit kesembilan.

Aksi final kategori wanita akan berlangsung di Padang 1 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada jam 6 petang Ahad.