LPB jajaran Julau lembaran baharu pertumbuhan ekonomi Sarawak

LPB jajaran Julau sepanjang 28.5 kilometer (KM) dengan kos sebanyak RM537.4 juta akan menjadi lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sarawak. - Foto Bernama
LPB jajaran Julau sepanjang 28.5 kilometer (KM) dengan kos sebanyak RM537.4 juta akan menjadi lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sarawak. - Foto Bernama
A
A
A

JULAU - Penyiapan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) jajaran Julau sepanjang 28.5 kilometer (KM) dengan kos sebanyak RM537.4 juta akan menjadi lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sarawak.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana jajaran itu memperluaskan pengangkutan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di negeri terbesar di Malaysia ini.

"Dengan siapnya pembinaan seksyen Julau pada 28 Oktober lalu, penduduk sekitar boleh bergerak dengan lebih selesa dari bandar Sibu ke Pantu seterusnya ke Miri di mana geometri jalan telah ditambah baik dan jalan juga lebih lebar.

"Menerusi penglibatan rakyat Sarawak dalam projek ini sebagai perunding, vendor, pembekal mahu pun kontraktor, ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan dapat dilahirkan dan secara tidak langsung memberi sumbangan kepada pembangunan Sarawak khususnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pembukaan Seksyen Julau LPB yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini pada Sabtu.

Katanya, laluan berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan tiga jajaran WPC07 yang melibatkan dari persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 75km di kawasan tengah negeri ini.

“Secara keseluruhan, skop pembinaan jalan ini melibatkan kerja menaik taraf (jalan sedia ada) kepada empat lorong dua hala,” katanya.

Katanya, apabila keseluruhan jajaran WPC07 siap kelak, ia akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa dan cekap terutama kepada penduduk di sekitar kawasan Sarikei dan Bintangor ke Kanowit dan Sibu.

Artikel Berkaitan:

Projek LPB Sarawak dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku Pegawai Penguasa Projek. - Bernama