MAFI alukan pembangunan benih padi IS21

Dari kanan: Dr Ronald, Amirudin, Dr Adham, Ismail Sabri dan Noh ketika gimik perasmian Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, di sini pada Sabtu.
Dari kanan: Dr Ronald, Amirudin, Dr Adham, Ismail Sabri dan Noh ketika gimik perasmian Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, di sini pada Sabtu.
A
A
A

SEKINCHAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengalu-alukan usaha Agensi Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) membangunkan benih padi baharu IS21 hasil daripada kajian biak baka mutasi.

Menterinya, Datuk Dr Ronald Klandee berkata, benih baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pada Sabtu itu merupakan benih daripada induk MR219 dan didaftarkan di Bahagian Perlindungan Varieti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Malaysia sebagai varieti NMR152.

Ia juga mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Teknikal Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras, MAFI pada 29 Januari 2021 sebagai padi sah negara membolehkan varieti berkenaan digunakan oleh pesawah dalam Program Insentif Benih Padi Sah.

Menurutnya, terdapat 57 varieti benih padi diisytihar oleh kerajaan sejak tahun 1964 yang telah dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI); dua varieti dari Universiti kebangsaan Malaysia (UKM); dua varieti dari Universiti Putra Malaysia (UPM); dan satu daripada Agensi Nuklear Malaysia.

Tambahnya, varieti benih padi tersebut terdiri daripada padi biasa atau inbred, padi wangi, padi warna, padi rintang racun herba dan padi aerobik.

"Pembangunan varieti padi secara berterusan di negara ini adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian nilai bagi industri padi dan beras negara tidak terganggu.

Ia juga dalam menghadapi pelbagai isu dan cabaran seperti serangan penyakit pokok atau serangga makhluk perosak, bencana alam seperti kemarau dan banjir dan sebagainya.

"Tanpa varieti padi yang rintang penyakit dan berdaya tahan, maka ia akan menjejaskan pengeluaran beras dan sekuriti bekalan makanan negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, MAFI melalui MARDI sentiasa proaktif melaksanakan pembangunan varieti benih padi baharu menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian secara berterusan untuk memastikan kelestarian pengeluaran varieti padi baharu demi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta produktiviti hasil tani.

Ujarnya, MAFI turut menggalakkan mana-mana jabatan, agensi serta institut pengajian tinggi (IPT) untuk bekerjasama dalam pembangunan varieti benih padi baharu dengan mengambil kira perubahan persekitaran bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi.

Dr Ronald berkata, MAFI sentiasa meningkatkan pengeluaran beras negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti benih padi baharu bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan 80 peratus dalam tempoh Dasar Agromakanan Negara 2.0.

"Pada tahun ini, dua varieti baharu juga diisytiharkan oleh MARDI iaitu MR 315 jenis padi beras putih biasa dan MRQ 104 iaitu beras wangi yang masing-masing diberi nama sebagai Seri Waja dan Kembang Sari.

"Ini adalah sebagai pilihan tambahan kepada petani dan pengilang memandangkan beras istimewa ini mempunyai permintaan tempatan yang tinggi dan dapat meningkatkan pendapatan petani.

"MARDI turut berkerjasama dengan syarikat panel pengeluar benih sah bagi menjamin kesediaadaan benih untuk petani dan beberapa syarikat memohon untuk menjadi pengeluar benih daftar dan sah bagi padi wangi Kembang Sari dan varieti padi wangi MRQ 103 yang bakal dilancarkan pada tahun 2022," katanya.