Jenayah komersial di Terengganu meningkat, rugi RM13 juta

Sebanyak 1,056 kes jenayah komersial direkodkan di Terengganu sehingga Oktober 2021. (Gambar hiasan)
Sebanyak 1,056 kes jenayah komersial direkodkan di Terengganu sehingga Oktober 2021. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kes jenayah komersial di seluruh negeri Terengganu meningkat sebanyak 30 peratus tahun ini dengan nilai kerugian RM13 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, sehingga Oktober 2021, sebanyak 1,056 kes jenayah direkodkan dengan peningkatan 256 kes berbanding 800 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Menurutnya, antara kes tertinggi adalah melibatkan penipuan pembelian secara dalam talian (online), Macau Scam dan kes menyamar sebagai rakan.

M Zambri
M Zambri

"Sehingga Oktober lalu, kes penipuan pembelian dalam talian mengakibatkan kerugian sehingga RM5 juta, diikuti kes Macau Scam (RM1 juta) dan menyamar sebagai rakan dengan nilai kerugian mencecah RM500,000.

"Walaupun kes melibatkan Macau Scam tidak begitu banyak, kebanyakan mangsa terpaksa menanggung kerugian dalam jumlah besar yang merupakan golongan berpendidikan dan berpencen," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen pencegahan jenayah komersial peringkat kontinjen Terengganu di sini pada Sabtu.

M Zambri berkata, peningkatan kes bagi pembelian secara dalam talian dipercayai disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan orang ramai lebih terdorong untuk membuat pembelian menerusi medium tersebut.

"Kita percaya kes penipuan melalui pembelian secara dalam talian meningkat disebabkan tempoh PKP yang dikuatkuasakan bermula tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kita minta orang ramai supaya segera melaporkan atau menyalurkan sebarang maklumat sekiranya menjadi salah seorang mangsa. Pihak polis akan membuka siasatan walaupun angka penipuan dialami melibatkan jumlah yang kecil," katanya.

Dalam pada itu, M Zambri berkata, kebanyakan tangkapan dibuat merupakan 'keldai akaun' di mana akaun digunakan sindiket bagi tujuan penipuan.

Sehubungan itu katanya, masyarakat diminta untuk tidak mendedahkan sebarang butiran akaun bank kepada mana-mana individu bagi mengelak terjebak dalam sebarang bentuk penipuan.

"Masyarakat juga diminta supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran barangan murah di media sosial atau pelaburan yang menjanjikan pulangan yang begitu tinggi," katanya.