Mohamad Norza terima Ijazah Kehormat UPSI

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

KUALA LUMPUR- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Sabtu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sukan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-22.

Mohamad Norza menerima ijazah itu yang disampaikan oleh Canselor Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI di Tanjung Malim, Perak.

MOM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI Dr Jaffry Zakaria berkata, anugerah itu sebagai penghargaan kepada Mohamad Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas kepimpinan dinamik dan sumbangannya dalam sukan.

“Beliau (Mohamad Norza) adalah presiden MOM dan rakyat Malaysia pertama diberikan anugerah tertinggi daripada universiti berdasarkan sumbangan, kepimpinan sukan dan Gerakan Olimpik di peringkat kebangsaan, Asia Tenggara dan Asia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MOM Datuk Hamidin Mohd Amin berbangga dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sukan kepada presiden mereka.

“Bagi pihak semua di MOM, Majlis Eksekutif, Lembaga Eksekutif adn Pengurusan MOM, kami amat berbangga di atas penganugerahan itu," katanya.

Dalam kenyataan berbeza, Mohamad Norza memberitahu, anugerah berkenaan akan memberi motivasi untuk beliau terus memberikan komitmen penuh dan dedikasi ke arah memajukan sukan negara.

“Apa yang kita sudah capai bukan sesuatu yang mudah dan ia adalah hasil kerja keras semua pihak terlibat untuk memajukan sukan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan BAM. - Bernama

Artikel Berkaitan: