KPDNHEP rampas 204 unit tong LPG

Antara tong gas LPG yang dirampas menerusi serbuan di sebuah premis di Bukit Kemuning, Shah Alam pada Rabu.
Antara tong gas LPG yang dirampas menerusi serbuan di sebuah premis di Bukit Kemuning, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 204 unit tong gas petroleum cecair (LPG) dianggarkan bernilai RM65,310 dirampas menerusi serbuan di sebuah premis di Bukit Kemuning di sini pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat risikan terhadap premis yang dipercayai menjalankan kegiatan pemindahan LPG haram.

"Risikan mendapati premis berkenaan menjalankan pemindahan LPG dari tong gas bersubsidi seberat 14 kilogram (kg) kepada tong gas industri seberat 50kg.

"Pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen sah untuk kegiatan itu sama ada untuk runcit atau borong," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, ketika serbuan, terdapat lori dalam premis berkenaan yang menyimpan sejumlah tong LPG berat 14kg dan 50kg.

"Turut ditemui ialah set hos penyambung dan alat timbang pelantar. Empat pekerja asing terdiri daripada seorang warga Indonesia dan tiga warga Myanmar yang berada di dalam premis berkenaan ditahan untuk siasatan," katanya.

Tambah beliau, KPDNHEP Selangor menyita sejumlah 204 unit tong seberat 14kg.

"Turut disita ialah 71 tong LPG kosong serta pelbagai alat dan dokumen yang disyaki terlibat dengan kegunaan perlakuan pemindahan LPG berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," jelas beliau.