Kolam pecah, penternak ikan air tawar rugi RM155,000

Keadaan salah sebuahu kolam ikan yang pecah akibat hujan lebat pada malam Jumaat. - (Foto: Pejabat Perikanan Daerah Jelebu)
Keadaan salah sebuahu kolam ikan yang pecah akibat hujan lebat pada malam Jumaat. - (Foto: Pejabat Perikanan Daerah Jelebu)
A
A
A

JELEBU - Tiga penternak ikan air tawar mengalami kerugian lebih kurang RM155,000 selepas kolam ternakan mereka pecah akibat hujan lebat selama lima jam pada malam Jumaat.

Ketua Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh berkata, hujan lebat bermula jam 7 malam hingga tengah malam di Kuala Klawang itu menyebabkan paras air Sungai Triang di Jeram Toi hingga Purun melimpah ke kawasan rendah.

"Susulan itu, Pejabat Perikanan Daerah (PPD) Jelebu telah menerima panggilan telefon serta WhatsApp daripada penternak yang memaklumkan kolam mereka pecah serta air melimpah sekali gus menyebabkan ikan banyak keluar.

"Kami ke lokasi kejadian sebelum menjalankan siasatan dan mendapati berlaku kerosakan pada kolam ternakan berkenaan membabitkan kolam penternak yang terjejas di Kampung Kalang; Kampung Gepu, Ulu Jelebu dan Jeram Toi, Ulu Klawang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Azhar berkata, seorang penternak di Mukim Ulu Klawang mengalami anggaran kerugian RM75,000 selepas 10,000 ekor ikan tilapia; 18,000 baung, 1,000 jelawat dan 1,000 ikan tongsan dari tiga kolam terlepas keluar.

Keadaan salah satu kolam ikan yang pecah akibat hujan lebat pada malam Jumaat. - (Foto: Pejabat Perikanan Daerah Jelebu)
Keadaan salah satu kolam ikan yang pecah akibat hujan lebat pada malam Jumaat. - (Foto: Pejabat Perikanan Daerah Jelebu)

"Seorang lagi penternak turut mengalami nasib sama, selepas lima kolam ikan miliknya pecah sehingga menyebabkan 15,000 ekor ikan tilapia gred A terlepas keluar dengan anggaran kerugian RM75,000.

"Sementara itu, seorang penternak wanita turut kehilangan 1,000 ikan tilapia dan 3,000 ikan puyu selepas terlepas keluar dari tiga kolam miliknya yang pecah dengan anggaran kerugian kira-kira RM5,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kemusnahan akibat kejadian banjir yang berlaku mengakibatkan kerugian yang besar kepada penternak kolam ikan, bagaimanapun jumlah kerugian sebenar belum dapat dipastikan dan laporan polis telah dibuat oleh pengusaha kolam ternakan terbabit.

"Kami akan membuat pemantauan dari masa ke masa bagi membantu pengusaha untuk membaik pulih kolam ternakan mereka.

"Selain itu juga, pihak kami akan membantu dari segi khidmat nasihat dan mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada Jabatan Perikanan Malaysia serta pihak-pihak yang berkaitan," jelasnya.