Pengamal media tidak lepas peluang mengundi

Atas dari kiri: Nor Farhana dan Azim Azmi. Bawah dari kiri: Nazrin dan Muhammad Azim
Atas dari kiri: Nor Farhana dan Azim Azmi. Bawah dari kiri: Nazrin dan Muhammad Azim
A
A
A

MELAKA - Meskipun terlibat dalam membuat liputan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, petugas-petugas media yang daftar mengundi di negeri ini tetap berusaha meluangkan masa bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Petugas media terlibat termasuk dua wartawan dan seorang jurukamera Sinar Harian.

Jurukamera Sinar Harian, Azim Azmi, 26, berkata, walaupun mengejar masa kerana perlu ke beberapa tempat untuk membuat liputan, beliau tidak mahu terlepas peluang mengundi untuk kali kedua.

Azim yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Paya Dalam bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek berkata, sebagai pengamal media beliau sedar akan tanggungjawab tersebut demi masa depan pentadbiran negeri Melaka sendiri.

“Saya berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang berlangsung dalam situasi normal baharu. Keadaan agak lengang ketika saya tiba jam 1.15 petang,” katanya di sini pada Sabtu.

Wartawan Sinar Harian Melaka, Nor Farhana Yaacob, 36, pula berkata, kehadiran pengundi yang agak kurang pada sebelah petang melancarkan proses pembuangan undi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam bagi DUN Ayer Keroh.

"Saya tiba jam 2.30 petang dan tidak perlu beratur kerana sudah tidak ramai pengundi lain. Mungkin sudah ramai yang selesai pada sebelah pagi.

"Apa pun saya berpuas hati dengan perjalanan proses pembuangan undi yang mengikut SOP normal baharu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi wartawan Sinar Harian, Nazrin Zulkafli, 24, yang mengundi di DUN Telok Mas juga tidak melepaskan peluang mengundi untuk kali pertama sambil membuat liputan di pusat pembuangan undi Sekolah Menengah Kebangsaan Alai.

"Ini adalah kali pertama saya mengundi dan juga pengalaman pertama membuat liputan pilihan raya.

"Saya mahu tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Melaka meskipun jadual liputan agak padat," katanya.

Dalam pada itu, bagi wartawan Bernama Radio, Muhammad Azim Zaid yang mengundi bagi DUN Ayer Keroh, juga menzahirkan rasa puas hati dengan proses pembuangan undi yang berlangsung di Pusat Rujukan Sosial Taman Kerjasama DUN Ayer Keroh.

Katanya, proses pembuangan undi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan juga berjalan lancar.

“Semuanya lancar dan hanya ambil masa hanya 10 minit sahaja untuk proses pembuangan undi pada jam 11.20 pagi tadi walaupun SOP yang amat ketat dengan keadaan normal baharu,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my