Lebih banyak negara asing mula buka kedutaan di Afghanistan

Amir Khan Muttaqi. Foto Reuters
Amir Khan Muttaqi. Foto Reuters
A
A
A

KABUL - Lebih banyak kedutaan asing bakal dibuka di Afghanistan, kata Menteri Luar Negeri Amir Khan Mutaqqi.

Katanya, ini menunjukkan kerajaan baharu yang diterajui Taliban itu mula mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, antara negara yang akan membuka kedutaan mereka di Afghanistan termasuk Turki, Itali dan terbaharu Jerman yang juga merupakan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Kebanyakkan negara misalnya Pakistan, Turkmenistan, Kazakhstan dan Iran sudah mula membuka kedutaan mereka (di sini).

"Sementara Jerman turut disahkan akan membukanya (kedutaan) dalam minggu ini," katanya kepada Bernama menerusi penterjemah bahasa ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Amir Khan berkata, pihaknya turut mengalu-alukan Malaysia untuk menimbang bagi membuka kedutaannya di Afghanistan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India turut ditauliahkan ke Afghanistan buat masa ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya memutuskan untuk mengekalkan Dr Moheb Rahman Spinghar sebagai Duta Afghanistan ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Wartawan Bernama yang kini berada di Kabul, merupakan satu daripada 13 peserta yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) ke bumi Afghanistan sejak negara itu diambil alih Taliban pada 15 Ogos lepas ia setelah menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya.

Setakat ini, kerajaan Malaysia masih mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan sebelum mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan. - Bernama