Kerajaan Sarawak rancang perkenal Dana Kekayaan Berdaulat

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg
A
A
A

JULAU - Kerajaan negeri Sarawak bercadang mewujudkan Dana Kekayaan Berdaulat bagi memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri itu demi masa depan generasi akan datang.

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Open berkata, kertas cadangan penubuhan dana tersebut sudah disiapkan oleh kumpulan pakar dan hanya akan dilaksanakan selepas dibentangkan untuk kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada persidangan DUN akan datang.

“Bagaimanapun, butirannya belum dapat diumumkan buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan jalan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Julau di sini pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Abang Johari, kajian telah dijalankan mengenai pelaksanaan dana tersebut dengan mencontohi meksanisme diguna pakai oleh negara Norway, di mana dana kekayaan negara itu dilaporkan kini bernilai AS$1.4 trilion.

Abang Johari, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), berkata, penubuhan dana tersebut dapat direalisasikan sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan GPS untuk kekal mentabir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) akan datang.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ditanya mengenai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di Kuching semalam, Abang Johari yang juga presiden parti itu berkata partinya sudah melengkapkan persediaan untuk menghadapi PRN12.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan senarai calon PBB yang akan diturunkan untuk bertanding kelak.

Mengenai Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Pakej Kerja 07 (Seksyen Julau) itu, beliau berkata, perasmian itu menunjukkan projek lebuh raya seksyen yang menghubungkan Julau dengan Bintangor dan Sibu disiapkan mengikut jadual.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan lebih-lebih lagi Kementerian Kerja Raya Malaysia yang dapat melaksanakan projek di Sarawak dengan baik," katanya.

Beliau berkata, siapnya seksyen itu akan membuka sektor ekonomi yang penting seperti pengeluaran lada dan kelapa sawit, selain tempat-tempat yang menarik dari sudut sektor pelancongan lantas memantapkan eokonomi setempat dan juga Sarawak. - Bernama