Benih padi baharu IS21 mampu tingkatkan hasil lebih tinggi: Adham

Dari kanan: Dr Ronald, Dr Adham, Amirudin, Ismail Sabri dan Noh ketika gimik perasmian Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, pada Sabtu.
Dari kanan: Dr Ronald, Dr Adham, Amirudin, Ismail Sabri dan Noh ketika gimik perasmian Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, pada Sabtu.
A
A
A

SEKINCHAN - Pengenalan benih padi jenis IS21 yang dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinar gama dilihat mampu mempertingkatkan produktiviti industri padi dan beras sekali gus mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan akibat peningkatan populasi masyarakat di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjangkakan peningkatan penduduk dunia kepada 9.7 bilion menjelang tahun 2050.

Menurutnya, Pertubuhan Makanan dan Pertanian turut menganggarkan pengeluaran pertanian dan makanan bakal menunjukkan peningkatan kira-kira 70 peratus bagi memenuhi permintaan makanan serta pemakanan masyarakat global menjelang 2050.

"Untuk memastikan matlamat transformasi negara ke arah negara berteknologi tinggi, program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dikenal pasti sebagai salah satu teras utama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu pelan pembangunan menyeluruh untuk manfaat Keluarga Malaysia yang Makmur, inklusif dan mampan.

"Usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memantapkan penyelidikan teknologi agromakanan seperti benih padi IS21 adalah selaras dengan hasrat transformasi ekonomi negara daripada status pengguna teknologi kepada pembangun teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, penghasilan benih padi IS21 oleh Agensi Nuklear Malaysia melalui MOSTI turut mendapat pengiktirafan daripada International Atomic Energy Agency dan Food and Agriculture Organisation sempena Persidangan Agung kali ke-65 di Vienna, Austria pada September lalu menerusi Anugerah Pencapaian dalam Bidang Biak Baka Mutasi Tanaman.

Katanya, ia adalah bukti kejayaan kerajaan melalui MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Amirudin (dua dari kanan) bersama Ismail Sabri melawat tapak pameran pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, pada Sabtu.
Amirudin (dua dari kanan) bersama Ismail Sabri melawat tapak pameran pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sungai Leman, pada Sabtu.

"Saya berharap MOSTI akan terus tampil dengan hasil penyelidikan dan pembangunan berkualiti yang mampu melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

"Inisiatif MOSTI menghasilkan varieti padi baharu IS21 ini adalah salah satu usaha pelengkap dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan negara dan selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri padi negara, serta mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Padi IS21 ini telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Dasar Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras sebagai benih padi sah negara dan dimasukkan dalam skim subsidi padi negara.

Melalui subsidi ini, pesawah boleh mendapatkan benih padi pada harga RM35 untuk 20 kilogram (kg) dan setakat ini, terdapat lebih 15,000 pesawah padi di seluruh negara menerima serta menanam benih padi jenis IS21 tersebut.

Dalam perkembangan lain, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penghasilan benih padi jenis IS21 merupakan antara pencapaian terbaik kajian biak baka mutasi di Malaysia serta mempunyai ciri-ciri agronomi yang sangat diperlukan dalam industri padi negara bagi mencapai matlamat sekuriti makanan negara yang sedang dihadapi.

Beliau berkata, projek penyelidikan dan pembangunan varieti padi IS21 yang bermula sejak tahun 2005 mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian.

"Masih ramai kurang menyedari bahawa teknologi nuklear memainkan peranan besar dalam penambahbaikan hasil tanaman dan mampu membasmi serangga perosak dengan menghalang pembiakannya.

"Banyak kepelbagaian tanaman baharu dapat dihasilkan yang tahan penyakit, cepat matang dan memberikan hasil pulangan yang lebih tinggi kepada para pesawah dan petani.

"Selain itu, sektor lain yang turut mendapat manfaat daripada teknologi nuklear ini adalah bidang perubatan, bioteknologi, alam sekitar, industri dan pembuatan," katanya.

Turut hadir ketika majlis perasmian tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Klandee; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.