Denggi di Kluang meningkat 250 peratus

Mohd Nizam (empat, kanan) bersama Ismail (empat, kiri) sewaktu program Gotong-Royong Perangi Aedes 1.0.
Mohd Nizam (empat, kanan) bersama Ismail (empat, kiri) sewaktu program Gotong-Royong Perangi Aedes 1.0.
A
A
A

KLUANG - Sebanyak 102 kes denggi dicatatkan berlaku di daerah ini sepanjang sembilan minggu pertama tahun ini dan kes tersebut meningkat sebanyak 250 peratus berbanding hanya 40 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Pegawai Kesihatan Daerah Kluang, Dr Mohd Nizam Subahir berkata, peningkatan amat ketara kes demam denggi ini berjaya dikesan berlaku di tujuh lokaliti iaitu 600 peratus meningkat berbanding 2018 dengan hanya satu lokaliti bagi tempoh sama.

"Laporan yang berakhir 2 Mac itu amat membimbangkan walaupun belum ada kes melibatkan kematian di daerah ini dan ianya perlu ditangani secara bersama-sama antara Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan masyarakat setempat termasuk ahli Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi).

"Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah mengadakan gotong-royong bagi mengenalpasti dan memusnahkan tempat pembiakan jentik-jentik selain memberikan kesedaran kepada orang ramai berkaitan pencegahan penyakit yang boleh menyebabkan kematian ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Daerah Kluang di lokaliti Jalan Usaha dan Jalan Semangat di Taman Sri Lambak, semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dan Penolong Pengarah Penguatkuasa SWCorp Kluang, Mohd Fairuz May Anuar.

Menurutnya, selain itu, komuniti setempat juga akan diberikan penerangan secara berterusan bagi mencegah penyakit ini daripada terus merebak dengan melakukan langkah-langkah awal di kawasan kediaman masing-masing.

Katanya, selain itu orang ramai juga masih yang kurang mengetahui bahawa terdapat beberapa jenis tanaman yang boleh membantu menghalau nyamuk seperti marigold, rosemary, oregano dan serai wangi dan semua tanaman ini boleh didapatkan dengan mudah selain tidak memerlukan kos yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail berkata, kebanyakan program pencegahan denggi kebiasaannya dianjurkan oleh PKD, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak Combi bersama jawatankuasa penduduk sahaja.

“Ada di antara program yang dianjurkan mendapat kurang sambutan daripada komuniti setempat kerana kesedaran masyarakat terhadap wabak ini dilihat masih rendah walaupun melibatkan kematian.

"Tanggungjawab membasmi nyamuk aedes ini tidak terletak pada PKD atau PBT sahaja, bahkan setiap pihak dan masyarakat keseluruhannya mesti bersama-sama bertanggungjawab terhadap kawasan sekeliling mereka," katanya.