Waspada penipuan giliran percepat tunai haji

Lembaga Tabung Haji (TH) meminta semua pendepositnya terus berwaspada terhadap penipuan bagi mempercepat giliran menunaikan ibadah haji oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Lembaga Tabung Haji (TH) meminta semua pendepositnya terus berwaspada terhadap penipuan bagi mempercepat giliran menunaikan ibadah haji oleh pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

IPOH - Lembaga Tabung Haji (TH) meminta semua pendepositnya terus berwaspada terhadap penipuan bagi mempercepat giliran menunaikan ibadah haji oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, TH sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mempercepatkan giliran bagi menunaikan ibadah itu.

Menurutnya, orang ramai yang menerima panggilan individu tidak dikenali mengenai perkara tersebut atau terdapat sebarang kemusykilan boleh terus berhubung dengan pihak TH bagi mendapatkan penjelasan.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Ada juga yang mengambil kesempatan ke atas mereka yang mahu menunaikan ibadah haji. Kita harap pendeposit atau jemaah yang mahu menunaikan haji tidak cepat percaya dengan perkara ini.

"Mereka perlu mendengar pengumuman rasmi daripada TH atau saya sendiri. Itu sahaja rasmi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Program TH Prihatin di Pejabat TH Negeri Perak, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Idris berkata, sekiranya mana-mana individu dapat mengesan nombor telefon yang meragukan, mereka boleh melaporkan terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Idris menyampaikan ucapan pada Majlis Serahan Program TH Prihatin di Pejabat TH Negeri Perak, di sini pada Sabtu.
Idris menyampaikan ucapan pada Majlis Serahan Program TH Prihatin di Pejabat TH Negeri Perak, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Amrin berkata, kes penipuan untuk mempercepatkan penggiliran itu amat membimbangkan terutama membabitkan bakal jemaah haji.

Katanya, susulan itu pihak TH sentiasa menguar-uarkan melalui media sosial dan laman web bahawa mereka tidak menawarkan badal haji atau mempercepat giliran menunaikan ibadah tersebut.

"Jika ada individu yang meminta wang atau meminta nama, itu tidak betul. TH akan membuat panggilan jika ada urusan berkaitan disusuli dokumen dokumen bukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp.

"Sebarang maklumat atau aduan boleh terus menghubungi talian hotline kita yang tertera di laman web Thijari," katanya.

Orang ramai yang berdepan situasi itu boleh menghubungi terus talian hotline Tabung Haji iaitu 03-62071919 jika terdapat sebarang pertanyaan.

Sementara itu mengenai Program TH Prihatin pula, Idris berkata, seramai 1,620 orang peniaga kecil terpilih di sembilan negeri yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menerima sumbangan zakat daripada TH dengan nilai keseluruhan berjumlah RM810,000.