Penduduk Gatco selesai terima geran hak milik secara berfasa

Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan geran hak milik tanah ladang kepada penduduk Kampung Serampang Indah (Gatco) dalam satu majlis di Jempol pada Sabtu.
Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan geran hak milik tanah ladang kepada penduduk Kampung Serampang Indah (Gatco) dalam satu majlis di Jempol pada Sabtu.
A
A
A

JEMPOL - Seramai 211 penduduk Kampung Serampang Indah (Gatco) di sini selesai menerima geran hak milik tanah ladang masing-masing secara berfasa bermula Mac tahun lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bermula dengan penyampaian fasa satu pada 3 Mac tahun lalu, sebanyak 139 hak milik telah diserahkan kepada penduduk, diikuti 38 lagi hak milik telah diberikan bagi fasa kedua pada 24 Disember lalu.

"Jika dicampurkan dengan jumlah 34 penerima geran pada fasa ketiga hari ini (Sabtu), bermakna masalah 211 orang penduduk terlibat dengan isu Gatco telah dapat kita selesaikan selepas 40 tahun menanti.

"Tahniah dan syabas kepada Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Juga kepada Thamarai Holdings Berhad dengan kerjasama yang dihulurkan bagi menyelesaikan isu ini," katanya pada majlis penyampaian hak milik kepada 34 penduduk Kampung Serampang Indah (Gatco) di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol di sini pada Sabtu.

Isu Ladang Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar iaitu Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup dan ladang tebu milik syarikat itu dilupuskan kepada PKNNS secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) yang kemudian menjadikan kawasan itu sebagai tanah rancangan.

Syarikat berkenaan membawa masuk peserta dengan tawaran tapak rumah dan kebun seluas empat hektar setiap seorang membabitkan bayaran RM4,000 hingga RM7,000.

Pada awalnya kawasan itu dirancang untuk dijadikan ladang getah, namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek terbengkalai.

Artikel Berkaitan:

Tanah syarikat berkenaan kemudian dilelong pada tahun 2004 sebelum dibeli syarikat Thamarai Holdings Sendirian Berhad.

Isu kemudian timbul apabila penduduk asal yang membayar ketika memasuki tanah rancangan itu tidak dapat memiliki tanah sehingga kes dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah berusaha menyelesaikan isu berkenaan sebaik mendapat mandat daripada rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kerajaan negeri bagaimanapun tidak berhasrat untuk meneruskan penyerahan untuk fasa keempat. Ini kerana berdasarkan pengamatan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, kebanyakan isu dalaman keluarga belum diselesaikan seperti meletakkan seorang wakil keluarga dalam hak milik yang hendak didaftarkan, atau tidak menerima apa yang ditawarkan kerajaan.

"Oleh itu, penyelesaian selepas ini bukan lagi secara berfasa tetapi secara runcit atau 'case by case basis'. Ini bagi memberi peluang kepada Pejabat Daerah dan Tanah Jempol menyelesaikan isu hak milik di lokasi lain pula," jelas beliau.

Tambah beliau, setiap penerima hak milik mendapat tanah ladang seluas 1.6 hektar bagi penduduk asal, manakala penduduk yang membeli daripada penduduk asal diberikan tanah seluas 0.8 hektar.

Katanya, kawasan berkenaan secara keseluruhan berkeluasan 488.05 hektar ditanam dengan pokok getah dan sawit.

Beliau juga menasihatkan kepada anak-anak muda supaya menjadikan isu Gatco sebagai teladan pada masa depan.

"Apabila memasuki sesuatu perjanjian dengan mana-mana pihak, perhatikanlah seberapa teliti isi perjanjian itu agar tidak rugi kemudian hari," ujar beliau.