Venue Sukma Johor disewa, elak projek gajah putih

Onn Hafiz ketika ditemui semasa Festival Orang Muda Johor 2021 di TMIYC Johor Bahru pada Sabtu
Onn Hafiz ketika ditemui semasa Festival Orang Muda Johor 2021 di TMIYC Johor Bahru pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan menggunakan kaedah sewaan bagi memastikan kesemua fasiliti Sukan Malaysia (Sukma) di negeri ini dalam keadaan baik sebelum temasya dwi tahunan itu berlangsung pada 2024.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu juga bagi memastikan kesemua 12 fasiliti itu sentiasa diselenggara selain tidak menjadi projek gajah putih.

“Buat masa ini kesemuanya berjalan lancar di bawah Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ), Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita juga bersyukur Velodrom Kota Iskandar, pasukan negara juga menyatakan hasrat untuk menyewa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Festival Orang Muda Johor 2021 (OMJFEST21) di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) memutuskan penganjuran Sukma Johor ditangguhkan pada 2024 dan menetapkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah untuk Sukma 2022.

Sukma Johor 2020 sepatutnya berlangsung pada 6 hingga 14 Mac 2021 dan Para Sukma pada 5 hingga 10 April dibatalkan sekali lagi, berikutan peningkatan kes Covid-19 tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz berkata, sewaan venue Sukma itu juga akan dibuka kepada orang awam dengan kadar sesuai ditetapkan oleh agensi yang terlibat menyelenggara fasiliti berkenaan.

Ditanya mengenai penerimaan kerajaan Johor mengenai penangguhan Sukma buat kali kedua itu, Onn Hafiz tidak menafikan pihaknya agak kecewa namun menganggap keputusan itu munasabah.

“Kita sedih juga tetapi untuk jangka panjang kita faham di Johor di bawah pentadbiran Datuk Hasni, beliau memang memberi fokus kepada kebajikan rakyat terlebih dahulu.

“Kita sekarang dalam fasa endemik, jadi kesan itu masih ada dan dengan penangguhan ini kita mahu berikan sedikit tujahan kepada ekonomi rakyat, bila Sukma pada 2024 nanti kita percaya ia lebih bersedia dan meriah,” katanya.