Sahabat Amin bantu fakir miskin

Aminuddin (tengah) bergambar bersama-sama pemohon Rumah Mampu Milik Type A di Taman Bukit Senawang, semalam.
Aminuddin (tengah) bergambar bersama-sama pemohon Rumah Mampu Milik Type A di Taman Bukit Senawang, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bakal melancarkan program Sahabat Amin berkonsepkan saudara angkat melibatkan keluarga ataupun individu fakir miskin di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, masyarakat umum sama ada individu atau institusi tertentu akan menjadikan golongan fakir miskin di negeri ini sebagai saudara angkat.

"Mereka ini akan membantu dan bertanggungjawab terhadap golongan sasar dalam aspek yang wajar antaranya mengambil tahu masalah keluarga saudara angkat serta membantu dari segi sokongan moral, bimbingan dan kewangan seperti bantuan pendidikan ataupun berbentuk alatan perniagaan.

"Program ini digerakkan Akademi Peranserta Rakyat (Akar) iaitu sebuah organisasi pembangunan komuniti yang menyasarkan golongan miskin sama ada didaftarkan melalui E-kasih ataupun tidak, namun dikenal pasti sebagai keluarga miskin," katanya selepas Majlis Perasmian Sesi Pengundian Perumahan Mampu Milik Type A di Taman Bukit Senawang Perdana, semalam.

Aminuddin berkata, seramai 56 keluarga miskin yang tiada pekerjaan tetap dan rumah di Desa Rimbunan Kaseh, Kampung Batu Hampar, Rembau terlibat dalam projek perintis Sahabat Amin.

"Kita memperkenalkan program Sahabat Amin sebagai suatu inisiatif merakyatkan keprihatinan dan peranan masyarakat terhadap komuniti fakir miskin di negeri ini.

"Kerajaan negeri akan melancarkan program ini secara rasmi dalam masa terdekat di mana pendaftaran sebagai saudara angkat boleh dibuat melalui borang yang boleh didapati di Pejabat Menteri Besar," katanya.

Aminuddin berkata, bayaran yuran sebanyak RM100 bagi tujuan pengurusan selain borang telah pun diedarkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seramai 107 pemohon daripada 472 orang berjaya memiliki rumah Mampu Milik Type A di Taman Bukit Senawang Perdana yang dijadual boleh diduduki pada bulan nanti.