X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Potensi penularan meningkat, varian Delta dikesan di 10 negeri

Foto 123rf
A
A

KUALA LUMPUR - Kes harian baharu Covid-19 dalam negara dijangka terus catat peningkatan, seiring dengan kenaikan kadar kebolehjangkitan (Ro/Rt) negara.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (13 Nov-19 Nov 2021), angka kes harian berlegar antara 5,000 dan 6,000, sementara Ro/Rt pula masih berada atas paras 1.0.

Pada Jumaat (19 November), Malaysia melaporkan kes harian baharu sebanyak 6,355 kes, meningkatkan kes kumulatif Covid-19 negara kepada 2,575,888 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbarnya pada 16 November lepas menyatakan, peningkatan Ro/Rt sejak 6 November 2021 memberi kesan kepada angka kes harian baharu yang turut meningkat.

Menurut beliau, peningkatan kes baharu dan nilai Rt menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat dan seterusnya risiko pendedahan yang lebih tinggi untuk dijangkiti oleh virus tersebut.

Peningkatan kes harian baharu boleh dilihat daripada data yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti berikut:-

13 November (5,809 kes), 14 November (5,162 kes), 15 November (5,143 kes), 16 November (5,413 kes), 17 November (6,288 kes),18 November (6,380 kes) dan 19 November (6,355 kes).

Selangor secara konsistennya mencatat kes harian baharu empat angka sepanjang tempoh Rangkuman ini dan satu-satunya negeri yang masih melaporkan kes harian empat angka. Angka kes seperti berikut:- 13 November (1,601 kes), 14 November (1,266 kes), 15 November (1,144 kes), 16 November (1,217 kes), 17 November (1,615 kes), 18 November (1,448 kes) dan 19 November (1,737).

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha'ri Ngadiman dalam kenyataan akhbar pada Khamis menyatakan, jumlah pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU) terkini yang juga kes Covid-19 (disahkan dan disyaki Covid-19) adalah sebanyak 86 kes iaitu 42 peratus daripada kapasiti ICU di negeri berkenaan.

Sementara itu, setakat hari ini, kes pesakit Covid-19 yang sembuh adalah sebanyak 5,031 kes, meningkatkan kes kumulatif sembuh kepada 2,477,314 kes (96.2 peratus).

Data Infografik KKM menunjukkan setakat pukul 11:59 malam 19 November 2021, kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 68,637 kes.

Dengan kes kumulatif 2,575,888 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 222 buah negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Filipina (2,823,210 kes) dan Afrika Selatan (2,927,499 kes).

Sebanyak 436 kes yang disahkan Covid-19 memerlukan rawatan di ICU setakat Jumaat dan 173 kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk kes kematian, setakat pukul 11.59 malam, 19 November, sebanyak 45 lagi kes dilaporkan, menjadikan kes kumulatif sebanyak 29,937 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 6,355 kes harian baharu pada Jumaat, 115 kes (1.8 peratus) tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5 sementara 6,240 kes (98.2 peratus) adalah dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt yang melepasi 1.0 pada 11 November 2021 berterusan sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama ini.

Ro/Rt sepanjang tempoh Rangkuman adalah seperti berikut:-

13 November (1.05), 14 November (1.05), 15 November (1.05), 16 November (1.04), 17 November (1.03 ) dan 18 November (1.02).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 18 November adalah WP Kuala Lumpur (1.09) dan Negeri Sembilan (1.07).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Mengenai ;Situasi dan Maklumat Terkini Mengenai Mutasi Spike Protein COVID-19 Malaysia;, Dr Noor Hisham melaporkan bahawa sebanyak 88 kes baharu varian dikesan, terdiri daripada Variant of Concern (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2).

Sebanyak 88 kes baharu itu melibatkan Selangor (19 kes), Perak (17 kes), Negeri Sembilan (13 kes), Johor (9 kes), Kelantan (8 kes), Kedah (7 kes), Terengganu (6 kes), Perlis (4 kes), WP Kuala Lumpur (3 kes) dan Melaka (2 kes).

Dengan ini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 3,918 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 3,898 kes adalah VOC manakala baki 20 kes adalah VOI.

Untuk rekod, laporan KKM pada 11 November lepas melaporkan pertambahan 48 kes VOC, iaitu varian Delta (B.1.617.2), melibatkan tiga buah negeri sahaja iaitu Pulau Pinang (34 kes), Pahang (12 kes) dan Perlis (2 kes).

Setakat 19 November 2021, Malaysia hanya mempunyai 246 kluster aktif. Untuk rekod, sebanyak 5,877 kluster dikesan di negara ini dan sebanyak 5,631 kluster daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (13 November -19 November 2021), berdasarkan data KKM, jumlah kluster baharu yang dilaporkan sebanyak 40 kluster. Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 25 kluster (62.5 peratus) dan kluster pendidikan, 8 kluster (20 peratus). - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!