Rakyat tidak setuju pemberian tanah, rumah kepada bekas PM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemberian tanah dan rumah kepada semua bekas perdana menteri adalah tidak wajar kerana rakyat Malaysia berpandangan masih ramai lagi masyarakat yang lebih memerlukan bantuan terutamanya dari segi kewangan.

Eksekutif Visa, Muhammad Syuaib Sazali, 27, berkata, ia kerana ramai lagi rakyat yang memerlukan rumah dan tanah berbanding mereka yang sudah mempunyai aset sendiri.

Tambahnya, jika perkara tersebut diberikan kepada bekas Perdana Menteri, ia akan memberi provokasi kepada rakyat kerana permohonan untuk kelulusan tanah sangat sukar.

“Isu ini akan menjadi satu isu yang besar dan menjadikan rakyat membuat provokasi kerana permohonan untuk kelulusan tanah sangat sukar diluluskan untuk rakyat sendiri.

“Oleh yang demikian, pandangan untuk memberikan tanah dan rumah kepada bekas perdana menteri sangat tidak wajar dilakukan disebabkan banyak faktor,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Syauqi Mardia Baharudin, 24, berkata, jika seseorang bekas perdana menteri itu bebas daripada isu mahkamah dan memberi jasa yang besar kepada negara, maka amat wajar untuk diberikan keistimewaan tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun tindakan menolak keistimewaan yang diberikan juga bakal memberi persepsi yang baik dan dana tersebut boleh disalurkan kepada yang lebih utama.

“Jika Datuk Seri Najib Razak menolak RM100 juta ini dan memberikan kepada saluran yang baik, maka ia jadi ikutan yang baik untuk kepimpinan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Pemberian tersebut adalah tidak wajar kerana kita perlu berhadapan dengan realiti kerana duit itu banyak dan Najib sendiri mempunyai isu, memang rakyat akan mempersoalkan perkara itu,” ujarnya.

Selain itu, Mahasiswa, Abdul Had Dolwahit, 24, juga berpandangan bahawa pemberian pingat atau penghargaan lain lebih sesuai diberikan lebih-lebih lagi ekonomi negara baharu meningkat naik.

Tambahnya, setiap Perdana Menteri sudah mempunyai elaun atau pencen mereka sendiri, jadi kalau mendapat imbuhan lebih, ia seolah-olah menjadikan golongan yang sudah kaya semakin kaya.

“Hartanah semua tu boleh dimanfaatkan kepada negara berbanding dikhususkan pada individu. Bukan tidak kenang budi dan bakti, tetapi ada pemberian yang lebih baik,” jelasnya.