Kerajaan perlu lebih telus dalam peruntukan kepada bekas PM

Najib Tun Razak, Abdullah Ahmad Badawi
Najib Tun Razak, Abdullah Ahmad Badawi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu lebih telus dalam peruntukan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 khususnya bagi perkara berkaitan elaun dan keistimewaan.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, ini kerana terdapat peraturan di bawah akta tersebut yang dilihat tidak memberikan ketetapan mengenai jumlah sebenar yang sepatutnya dibelanjakan.

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal

Menurutnya, hal tersebut termasuk bagi keistimewaan pemberian tanah dan rumah yang diperuntukkan kepada bekas Perdana Menteri.

“Kalau tengok peraturan tersebut tidak ada sebut pun (jumlah peruntukan untuk pemberian tanah kepada bekas Perdana Menteri. Jadi perkataan ‘ditawarkan...yang sesuai dengan status bekas Perdana Menteri’ itu, apakah yang dimaksudkan ‘sesuai dengan status’?

“Jadi itu adalah subjektif dan jumlah yang dianggap sesuai dan wajar itu boleh diperdebatkan. Jadi kalau benar Tun Abdullah Ahmad Badawi dapat RM75 juta (peruntukan tanah dan rumah), jumlah RM 100 juta diperuntukkan kepada Datuk Seri Najib mungkin wajar sebab tidak jauh beza.

“Oleh itu, perkara ini memerlukan ketelusan daripada kerajaan supaya tidak ada pertikaian di masa hadapan,” katanya ketika mengulas mengenai persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkaitan isu pemberian tanah dan rumah kepada Najib.

Dalam kenyataannya pada Jumaat, Hassan telah meminta penjelasan daripada kerajaan berkenaan beberapa persoalan mengenai isu tersebut berkaitan keputusan muktamad isu berkenaan dan hak keistimewaan untuk bekas Perdana Menteri yang disabitkan kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Hassan turut menimbulkan persoalan mengenai status sebenar mengenai pemberian tanah dan rumah oleh kerajaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah yang didakwa bernilai RM75 juta.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad berkata, meskipun kewajaran mengenai pemberian akan diputuskan oleh Kabinet, namun ia tetap perlu dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

“Ia perlu bentangkan di Parlimen kerana itu adalah perbelanjaan tambahan. Jadi terpulang kepada Ahli parlimen untuk menolak atau menerima sekiranya ia dibentangkan di masa depan,” ujar Nik Ahmad lagi.