Dua maut, empat cedera parah kereta terbabas langgar pokok

Keadaan kenderaan yang remuk selepas erbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Kilim, Jalan Air Hangat, Langkawi pada Jumaat.
Keadaan kenderaan yang remuk selepas erbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Kilim, Jalan Air Hangat, Langkawi pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua maut manakala empat lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kampung Kilim, Jalan Air Hangat, Langkawi, di sini, lebih kurang jam 4.05 petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Firdaus Nor Shaidi, 23, dan Maizatul Hana Mohd Rosdan, 21.

Beliau berkata, empat lagi penumpang iaitu Fatin Nurfatiha Asmadi, 21, Nur Aiman Rifqi Mohd Badrolnizan, 21, Muhammad Helmi Ahmad Tarmizi, 27, dan Nurul Atikah Mohd Rashidi, 22, pula cedera parah.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Mohd Firdaus yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Avanza membawa bersama lima penumpang termasuklah Maizatul Hana datang dari arah Kuah menghala ke Air Hangat.

"Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua mangsa tercampak keluar dari kenderaan tersebut akibat impak perlanggaran yang kuat.

"Penumpang dikenali Maizatul Hana disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha Langkawi," katanya.

Shariman memaklumkan, mangsa-mangsa lain yang cedera parah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan dan kesemua waris mangsa telah dimaklumkan tentang kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan proses bedah siasat akan dilakukan pada Sabtu.