X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Reezal Zambery dilantik pengendali Kelantan FC

Reezal Zambery - Foto TRW Kelantan FC
A
A

KELAB Liga Premier Kelantan FC mengumumkan bekas pemain tengah kebangsaan Reezal Zambery Yahya sebagai ketua jurulatih pasukan yang baharu menjelang saingan musim depan dengan misi layak ke Liga Super 2023.

Reezal Zambery yang menggalas tugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC sebelum memangku posisi Ketua Jurulatih menggantikan Marco Ragini, ditawarkan kontrak bersama The Red Warriors selama tiga tahun.

Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata, Reezal Zambery menunjukkan kualiti sebagai pengendali selain mempunyai tahap keserasian yang tinggi bersama barisan kejurulatihan dan pemain sejak menyertai pasukan pada April lalu.

“Dengan pelantikan hari ini, ia menunjukkan kita ingin bersiap lebih awal supaya kita dapat bersaing pada musim 2022 dengan lebih teratur dan tersusun termasuk pemilihan pemain yang akan dipilih ketua jurulatih mengikut kesesuaian taktikal dan strategi.

Untuk liga musim hadapan, setelah berbincang dengan pengarah teknikal (Kelantan FC Abdul Nasir Yusof), kita dah bariskan pemain import yang berkualiti kerana sasaran kita adalah sekurang-kurangnya dapat kedudukan dua terbaik untuk layak ke Liga Super, itu misi kita,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Pada masa sama, Norizam yang terkenal dengan julukan 'Zamsaham' atau 'Zamburger' berkata, pihaknya bersedia mengeluarkan perbelanjaan dua kali ganda berbanding tahun 2021 untuk memastikan kelangsungan pasukan musim depan.

Sementara itu, Reezal Zambery menganggap sasaran ke Liga Super 2023 bukan satu tekanan, malah sedia menyahut cabaran diberikan.

“Pada saya dalam bola sepak tekanan memang biasa tetapi apa-apa pun sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan mahu atau tidak mahu kita perlu berusaha untuk mencapai apa telah ditetapkan.

“Kita perlu bersedia lebih awal kerana ingin pastikan pemain kita juga sedia untuk hadapi musim yang panjang, pada saya perkara yang saya perlu ambil lebih serius adalah memastikan sasaran ditetapkan Insya-ALLAH tercapai,” kata bekas pemain Negeri Sembilan berusia 43 tahun itu.

Untuk rekod, Kelantan FC mengakhiri saingan Liga Premier di kedudukan keenam manakala pada kempen Piala Malaysia pula di kedudukan terakhir Kumpulan D. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!