X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

PRN Melaka: Pecutan terakhir, pemimpin, calon terus rayu pengundi

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A

MELAKA - Berbaki kurang beberapa jam sahaja sebelum tempoh berkempen tamat, pemimpin-pemimpin parti yang bertanding terus merayu agar rakyat Melaka keluar mengundi bagi menentukan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.

Mereka menghebahkan pesanan dan amanat tersebut melalui poster dan video pendek di dalam media sosial parti masing-masing, di samping mengingatkan pengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan membawa bersama dokumen pengenalan diri yang diperlukan di hari mengundi.

Tidak terkecuali calon-calon juga merayu agar pemilih mengundi mereka di peti undi bagi membolehkan masing-masing menunaikan janji yang telah diwar-warkan dalam manifesto masing-masing.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyddin Yassin melalui satu video pendek di Facebooknya berkata, penentuan rakyat Melaka di peti undi akan menentukan dasar, amalan dan corak kerajaan negeri yang akan dibentuk.

“Saya berharap pengundi akan memberikan sokongan padu dengan mengundi calon PN pada 20 November, saya doakan dengan undi saudara PN akan membentuk kerajaan negeri dan memacu negeri Melaka bangkit sebagai negeri yang gemilang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Esok hari penentu, politik Melaka diharap tak 'bergegau' lagi

Rakyat jangan takut keluar mengundi esok, pesan Khairy

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui satu posternya menyeru pengundi Melaka untuk memilih calon mereka.

“PN ialah ikatan kukuh yang kita bentuk, jadi kita seru semua rakyat khususnya pengundi-pengundi Melaka untuk memilih calon Perikatan Nasional di PRN Melaka,” ujarnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut merayu pengundi berkata, PRN ini adalah peluang untuk kestabilan politik dikembalikan, manakala calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pula memohon agar anak-anak di perantauan, pulang ke kampung dan tunaikan tanggungjawab sebagai anak Melaka.

Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka yang juga calon DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyeru pengundi di kawasan itu agar menterjemahkan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia sesuai dengan demokrasi di negara ini.

Lima calon Parti Pribumi Perkasa Malaysia (PUTRA) yang membuat penampilan sulung tidak ketinggalan menyampaikan rayuan mereka melalui perkongsian video pendek di laman Facebook mereka, termasuk Laila Norinda Maon calon DUN Gadek yang berkata PUTRA merupakan parti yang masih bersih.

Sementara itu calon Bebas DUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee melalui satu video pendek dalam laman Facebooknya berkata: “Walaupun saya bertanding Pilihan Raya Negeri Melaka sebagai calon bebas, tidak bermakna saya tidak dapat berkhidmat untuk rakyat”. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!