PRN Melaka: BN siap sedia tangkis serangan

Ahmad Zahid mencuba menaiki motosikal ketika bertemu jentera BN di Bilik Gerakan DUN N02 Tanjung Bidara hari ini sempena PRN Melaka esok. - Foto Bernama
Ahmad Zahid mencuba menaiki motosikal ketika bertemu jentera BN di Bilik Gerakan DUN N02 Tanjung Bidara hari ini sempena PRN Melaka esok. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Barisan Nasional (BN) telah bersedia menangkis segala serangan parti lawan yang menggunakan strategi pembunuhan karakter dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang hanya berbaki kurang 24 jam.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun strategi itu sedang giat dimainkan parti lawan namun yakin pengundi telah menetapkan di dalam minda mereka akan memilih BN pada hari pengundian nanti.

"Ia sedang berlaku, tetapi kita dah bersiap sedia, saya yakin BN akan membentuk semula kerajaan negeri di Melaka," kata selepas menunaikan solat Asar di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Lendu di sini pada Jumaat.

Ditanya berapa peratus keyakinan BN akan membentuk kerajaan negeri, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran namun memadai melepasi garisan untuk membentuk kerajaan negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen BN yang tidak memaparkan wajahnya di poster atau papan iklan, Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri yang meminta kaedah itu digunakan.

"Sengaja saya meminta agar wajah saya tidak dipaparkan, itu kaedah konvensional, tetapi kita lebih menekankan kaedah di luar kotak iaitu memaparkan calon dan bukan pemimpin," katanya yang juga Presiden UMNO.

BN bertanding di 28 DUN dengan UMNO meletakkan calon di 20 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (satu).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my