Data ekonomi AS positif, ringgit ditutup rendah berbanding dolar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Jumaat, seiring dengan prestasi serantau susulan pengukuhan ketara dolar berikutan data ekonomi negara maju itu yang positif, kata peniaga.

Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.1810/1850 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1825 yang dicatatkan pada akhir urus niaga Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, kelemahan ringgit pada Jumaat disebabkan oleh data ekonomi AS yang kekal positif dan membayangkan kemungkinan pelaksanaan kenaikan kadar faedah lebih awal daripada dijangkakan, terus meraih momentum.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, walaupun data tuntutan pengangguran di AS lebih tinggi iaitu 268,000 berbanding unjuran awal 260,000, ini terbukti tidak memberi kesan terhadap dolar AS.

Malah, dolar AS terus dipacu sokongan susulan pengumuman data-data ekonomi yang menunjukkan bahawa jualan runcit di negara maju itu bagi Oktober mencecah paras tertinggi dan mengesahkan bahawa permintaan isi rumah kekal tinggi walaupun berlaku inflasi.

Selain itu, katanya, Indeks Pembuatan Rizab Persekutuan Philadelphia yang mengukur tahap relatif keadaan perniagaan secara amnya di Philadelphia, juga menyuntik kesan positif ke atas dolar AS apabila indeks tersebut meningkat ketara kepada 39.0 mata pada November daripada 23.8 mata pada bulan sebelumnya.

“Daripada sudut teknikal, dolar AS berkemungkinan dapat mengekalkan momentum kenaikannya berbanding ringgit sehingga ia mencecah paras 4.1900,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Artikel Berkaitan:

Ringgit menokok berbanding pound Britain kepada 5.6147/6200 daripada 5.6401/6434, mengukuh berbanding euro kepada 4.7249/7295 daripada 4.7364/7392 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0702/0736 daripada 3.0781/0801 pada Khamis.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen kepada 3.6675/6714 daripada 3.6609/6631. - Bernama