21 petugas KKM terkandas di Pos Tohoi diselamatkan

Unit Udara JBPM berjaya membawa keluar seramai 21 petugas KKM yang terkandas di Pos Tohoi, Gua Musang sejak Khamis (18 November). Foto: Ihsan JBPM
Unit Udara JBPM berjaya membawa keluar seramai 21 petugas KKM yang terkandas di Pos Tohoi, Gua Musang sejak Khamis (18 November). Foto: Ihsan JBPM
A
A
A

KOTA BHARU - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya membawa keluar seramai 21 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terkandas di Pos Tohoi, Gua Musang sejak Khamis (18 November).

Pengarah Bahagian Udara JBPM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Nazili Mahmood berkata, kesemua petugas tersebut terkandas di pos berkenaan, disebabkan terputus hubungan jalan darat akibat jambatan runtuh dan hujan lebat.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima panggilan untuk menyelamatkan petugas berkenaan sekitar 12 tengah hari Khamis, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana cuaca buruk.

“Jadi kita mengambil keputusan untuk melakukan operasi menyelamat kesemua petugas berkenaan pada pagi tadi (Jumaat), yang mengambil masa selama tiga jam dengan menggunakan pesawat Mi-17.

“Seramai lima kru termasuk kapten dan juruterbang ditugaskan dalam operasi ini dan kesemua petugas kesihatan dari Hospital Orang Asli Gombak, Selangor ini selamat tiba di Subang pada 12.20 tengah hari tadi (Jumaat),” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, pada Jumaat. - Bernama

Artikel Berkaitan: