Mahkamah tolak permohonan Zuraida batal saman PKR

Datuk Zuraida Kamaruddin
Datuk Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menolak permohonan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman PKR yang menuntut RM10 juta terhadapnya kerana didakwa melanggar syarat mengikut bon yang ditandatangani dan mengikat dirinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman, selepas mendapati ada isu yang boleh dibicarakan dalam tuntutan tersebut.

Latifah dalam penghakimannya berkata, ia bukanlah suatu tuntutan yang boleh dibatalkan di bawah Aturan 18.k.19 KKM 2021.

"Mahkamah mendapati isu mengenai bon yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen Ampang itu, pada 25 April 2018 perlu dijelaskan dalam perbicaraan penuh.

"Beliau perlu memberikan keterangan sebab beliau menandatanganinya dan sama ada wujud syarat yang tersirat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saman RM10 juta PKR tidak masuk akal, kata Zuraida

Zuraida tak bimbang surat tuntutan RM10 juta PKR

Beliau berkata, saksi daripada kedua-dua pihak perlu memberi keterangan untuk menjelaskan tujuan bon tersebut dilaksanakan.

Oleh itu katanya, mahkamah berpendapat adalah tidak wajar tuntutan ini dibatalkan di peringkat ini.

Susulan keputusan itu, mahkamah mengenakan kos RM5,000 terhadap Zuraida berhubung permohonan membatalkan saman PKR berkenaan tertakluk kepada fi alokatur.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam Zuraida, Muhammad Nizamuddin Hamid, ketika dihubungi pemberita berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Sebelum ini, media melaporkan, PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September tahun lalu melalui Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif.

PKR dalam pernyataan tuntutannya berkata, Zuraida menandatangani bon di mana beliau mengikat dirinya untuk membayar kepada parti sejumlah RM10 juta pada 25 April 2018.

Menurut parti itu, antara syarat bon ialah Zuraida bersetuju untuk membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari selepas berlakunya salah satu perkara antaranya, jika beliau meletak jawatan sebagai anggota parti.

Plaintif berkata, Zuraida juga perlu membayar wang itu jika beliau tidak mengemukakan surat untuk bertanding kerusi yang diperuntukkan kepadanya atas apa alasan atau selepas memenangi pilihan raya, atau bergabung dengan parti politik lain atau menjadi wakil rakyat Bebas.

Seterusnya, ia mendakwa defendan dalam satu kenyataan bersama ahli Parlimen lain pada 24 Februari tahun lalu, mengumumkan peletakan jawatan daripada PKR tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Parti itu seterusnya berkata, pada tarikh sama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR meluluskan resolusi untuk melucutkan keahlian Zuraida dalam parti dengan serta-merta, selain mengeluarkan sijil bertarikh 24 Julai 2020 untuk mengesahkan keahlian defendan ditamatkan.

Menurut plaintif, ia berikutan tindakan defendan yang meletak jawatan menyebabkan parti kehilangan manfaat dan kelebihan mempunyai seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan menjadi sebahagian kerajaan eksekutif.

Selain itu plaintif mendakwa, defendan telah atau menikmati faedah selepas dipilih sebagai calon PKR yang memenangi kerusi Parlimen Ampang dan ia tidak adil untuk defendan terus mengekalkan faedah itu tanpa membayar pampasan bagi penggunaan jenama dan tanda parti.

Sehubungan itu, PKR menuntut Zuraida membayar RM10 juta kepadanya seperti di bawah bon, jumlah alternatif sebanyak RM12 juta selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.