Lanjutan pengecualian, pengurangan sewa premis diputus Disember ini

Shahidan - Foto Bernama
Shahidan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan sama ada pengecualian dan pengurangan sewaan premis di Wilayah Persekutuan dilanjutkan tahun hadapan atau tidak akan diputuskan pada Disember ini.

Menteri Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya sedang membuat pertimbangan dan akan meneliti keperluan berhubung perkara itu.

"Kita akan memikirkan sejauh mana ia boleh dipertimbangkan tahun hadapan. Keputusan akan dibuat selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelak," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat penjualan coklat terbesar di Lembah Klang, Souq Shoppe@Dataran Putra, dekat sini pada Jumaat.

Sebelum ini, KWP telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pengurangan sehingga 50 peratus sewaan premis, pengecualian sewaan tapak kepada penjaja kecil serta pengecualian fi lesen penjaja kecil Putrajaya yang akan tamat pada Disember ini.

Inisiatif itu sebagai satu langkah untuk mengurangkan beban penjaja dan peniaga kecil yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Sementara itu, Shahidan berkata, pihaknya telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (Ppj) untuk menyediakan 1,000 tapak perniagaan baharu khusus kepada anak muda bagi meningkatkan ekonomi golongan tersebut.

"Tapak-tapak tersebut akan diberikan di kawasan tumpuan manakala di Putrajaya pula ia perlu diteliti kerana ini merupakan bandar terancang," katanya.

Artikel Berkaitan: