Lega kompaun RM10,000 dibatalkan serta-merta

Nik Saiful (dua dari kiri) mengakui anak guamannya bercakap benar memandangkan mereka merupakan anak jati kampung berkenaan.
Nik Saiful (dua dari kiri) mengakui anak guamannya bercakap benar memandangkan mereka merupakan anak jati kampung berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU – Empat penduduk di Kampung Slow Teliar, Bunut Susu, Pasir Mas menarik nafas lega kerana kompaun ke atas kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran yang dikenakan kepada mereka Jun lalu dibatalkan serta-merta.

Kesemua mereka sebelum ini mendakwa dikenakan kompaun RM10,000 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) di kampung berkenaan pada 21 Jun lalu namun lokasi SJR dipercayai dalam daerah Pasir Mas.

Bagaimanapun, Zaleha Yusof, Nuatikah Harun, Abdul Razak Su dan Mohd Ghazali yakin mereka tidak bersalah dan mendakwa masih berada dalam daerah Pasir Mas ketika dikenakan saman berkenaan.

Perkara tersebut dibawa ke pengetahuan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Noor yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri dan Naib Ketuanya, Asroy Azmi dan kemudiannya dirujuk kepada Pengerusi Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan.

Nuatikah Harun, 46, mengakui terkejut dikenakan kompaun sedangkan dia yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Selepas itu saya berfikir cara untuk selesaikan perkara itu sebelum memaklumkan kepada UMNO Bahagian Pasir Mas. Alhamdulillah lega kerana semua telah selesai," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Nik Saiful Adli ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, pihaknya telah melakukan prosedur sepatutnya termasuk mengadakan pertemuan dengan Penolong Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk membuat rayuan pada hujung Jun lalu.

Katanya, awal November lalu, dia dimaklumkan kes berkenaan dan telah dirujuk ke Pejabat Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

"Pada 24 Ogos, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan untuk membatalkan notis kompaun berkenaan atas kesalahan teknikal.

"Pihak Pejabat Tanah juga turun ke lokasi SJR untuk melakukan ukuran sempadan sekali gus mendapati semasa dikenakan saman empat individu berkenaan masih berada dalam daerah mereka.

“Sekatan yang dibuat pihak IPD ketika itu masih dalam kawasan Kampung Slow Teliar, bukan Kampung Bukit, Wakaf Bharu iaitu daerah Tumpat sebagaimana yang ditulis dalam notis kompaun,” katanya.

Saiful berkata, beliau yakin dengan kenyataan yang diberikan anak guamnya memandangkan mereka merupakan penduduk jati kampung berkenaan dan percaya kompaun itu tersilap lokasi.

“Apa pun, pihak berkuasa telah melakukan tugas sebaik mungkin bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung,” katanya.