MGB catat peningkatan PAT sebanyak 96.5 peratus

Lim Hock San
Lim Hock San
A
A
A

MGB Berhad (MGB) anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 96.5 peratus bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM33.91 juta, berbanding RM7.34 juta pada suku sama tahun lalu.

Walaupun operasi terkesan akibat pandemik Covid-19, keuntungan sebelum cukai (PBT) dan PAT masing-masing mencatatkan sebanyak RM4.34 juta dan RM2.01 juta di sebalik pendapatan RM111.12 juta.

Bagi tempoh kewangan sembilan bulan yang berakhir 30 September 2021, MGB turut mencatatkan perolehan ketara dan PAT masing-masing sebanyak RM405.21 juta dan RM16.18 juta, lonjakan sebanyak 6.2 peratus dan 96.5 peratus berbanding RM381.70 juta dan RM8. 23 juta bagi tempoh yang sama pada 2020.

Mengulas mengenai prestasi syarikat, Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Datuk Sri Lim Hock San berkata, ia merupakan suku tahun yang mencabar tetapi memberi keuntungan serta meningkatkan nilai para pemegang saham.

“Kami bersyukur kerana dengan pelaksanaan strategi yang betul, termasuk memanfaatkan sistem konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk projek-projek pembinaan sekali gus menjimatkan kos.

“Justeru, MGB berupaya untuk terus merekodkan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya turut mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prestasi syarikat untuk suku akan datang berikutan pasaran hartanah telah kembali pulih.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selaras dengan inisiatif yang dicadangkan dalam Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM1.5 bilion untuk pembinaan lebih banyak rumah kos rendah di samping RM2 bilion dalam jaminan untuk pekerja, perunding dan kontraktor, yang akan mempengaruhi industri pembinaan.

“Berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi 2022, pertumbuhan sektor pembinaan dianggarkan berada di rantau dua angka berbanding keseluruhan ekonomi yang hanya diunjurkan berkembang sederhana antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus,” katanya.

Tambah beliau, MGB akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pembinaan projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Selangor pada Oktober lepas membabitkan 7,210 unit rumah mampu milik.

Kata Hock San, Idaman Bandar Saujana Putra (BSP) akan menjadi projek sulung daripada enam buah projek MBI Rumah Selangorku Idaman yang akan dibina oleh MGB dengan sistem pratuang IBS.

“Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kami tidak sabar untuk melancarkan baki projek dalam beberapa bulan akan datang,” ujarnya

Beliau turut memaklumkan, pembangunan dilaksanakan mengikut jadual yang dijangka memberi keuntungan kepada MGB dengan jumlah anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.8 bilion.

“Justeru, kami akan terus berusaha membida lebih banyak lagi projek bagi memastikan pendapatan berterusan syarikat pada tahun-tahun akan datang.” kata Hock San.