PRN Melaka: Bomba sedia hadapi sebarang kemungkinan esok

Pasukan bomba dan penyelamat Melaka bersiap siaga untuk PRN Melaka esok.
Pasukan bomba dan penyelamat Melaka bersiap siaga untuk PRN Melaka esok.
A
A
A

MELAKA - Seramai 463 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Pengarahnya, Abu Bakar Katain berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai beberapa kawasan 'panas' dan pasukan bantuan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk dikejarkan ke lokasi jika berlaku sebarang insiden.

Menurut beliau, pasukan mereka bagaimana pun tidak ditempatkan terus di lokasi bagi mengelakkan spekulasi atau mencetuskan kebimbangan pengundi.

"Kita akan sentiasa peka dengan perkembangan situasi di setiap Pusat Daerah Mengundi, khususnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya lagi, bagi memastikan kelancaran hari pengundian PRN esok, kesemua 90 peratus daripada jumlah keseluruhan 515 kakitangan JBPM negeri berada dalam penugasan dan hanya 10 peratus diluluskan permohonan bercuti.

Mengulas lanjut, mengenai ramalan kaji cuaca yang menjangkakan esok hujan, beliau menjelaskan bahawa, sebanyak 10 pasukan pemantau masih melaksanakan pemantauan dua kali sehari di 124 lokasi berpotensi banjir.

"Antara lokasi fokus ialah sekitar Sungai Asahan, Sungai Ayer Panas, Empangan Gadek, Sungai Pengkalan dan Sungai Putat.

"Semua aset termasuk bot juga dalam keadaan baik untuk digerakkan ke lokasi jika berlaku sebarang bencana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

ARTIKEL BERKAITAN:Polis beri jaminan pengundian PRN Melaka esok lancar