Mangsa banjir nyaris lemas ketika selamatkan diri

Mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang pada Jumaat.
Mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang mangsa banjir di Kampung Tok Deh, Rantau Panjang di sini berdepan detik cemas apabila nyaris lemas selepas rebah akibat pening ketika sedang mengharungi banjir di kawasan rumahnya untuk menyelamatkan diri.

Abdul Majid Ahmad, 55, berkata, ketika kejadian pada kira-kira 8 malam Khamis, beliau bersama isteri dan anak lelakinya terpaksa meredah air pada paras dadanya untuk keluar dari kawasan rumahnya ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah.

“Masa itu air sudah masuk dalam rumah, kawasan luar rumah pula air sudah cecah dada.

Jadi kami sekeluarga ambil keputusan untuk keluar ke tempat lebih selamat.

“Ketika sedang harung air, tiba-tiba saya rasa pening kerana kesejukan dan hampir pitam sehingga menyebabkan saya rebah.

Mujur ketika itu anak lelaki saya (Mohd Syamil, 17) sempat memaut badan saya sebelum tenggelam dibawa arus banjir," katanya kepada Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang di sini pada Jumaat.

Abdul Majid yang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis berkata, kawasan rumahnya sering dinaiki air kerana berada di kawasan paling rendah dan sudah menjadi kelaziman untuknya dan keluarga berpindah ke PPS SK Tok Deh setiap kali musim banjir.

Seorang lagi mangsa banjir, Kamaruddin Stapa, 53, dari Kampung Bendang Perol di sini turut berpindah ke PPS bersama enam ahli keluarganya kerana bimbang keselamatan keluarganya berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Golok.

Artikel Berkaitan:

"Ibu saya (Mariam Ahmad, 80) tidak boleh berjalan kerana sakit lutut dan perlu diusung ketika berpindah awal pagi tadi.

Sebenarnya air mulai masuk ke kawasan rumah saya sejak kelmarin tetapi disebabkan limpahan air dari Sungai Golok yang masuk melalui longkang menyebabkan air semakin banyak di sini," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Tok Deh mendapati beberapa kawasan jalan dari Kampung Tok Deh ke Rantau Panjang turut dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.

Setakat 2 petang Jumaat, bilangan mangsa banjir di PPS SK Tok Deh kekal 31 orang daripada enam keluarga, manakala menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan paras amaran dengan bacaan 8.66 meter. - Bernama