My Gaya Month catat jualan melebihi sasaran

Hasnol (tengah) bersama pemenang, Mark Westwood (kiri) dan Caroline Wass dari Carro World Sdn Bhd pada majlis penutupan My Gaya Month The Finale. - FOTO ROSLI TALIB
Hasnol (tengah) bersama pemenang, Mark Westwood (kiri) dan Caroline Wass dari Carro World Sdn Bhd pada majlis penutupan My Gaya Month The Finale. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Program My Gaya Month yang dianjurkan oleh Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA) berjaya mencatatkan jualan RM402,212 dua kali ganda daripada yang disasarkan iaitu RM250,000.

Presiden MBDA, Rasta Rashid berkata, ia merupakan pencapaian yang sangat membanggakan ketika industri terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, penganjuran My Gaya Month yang diperkenalkan bagi merancakkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) memberi impak besar kepada pemain industri dan keseluruhan ekosistem.

Rasta Rashid
Rasta Rashid

"My Gaya Month menjadi titik tolak bagi membina ekosistem perniagaan yang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program My Gaya Month The Finale yang melabuhkan tirainya pada Jumaat, di sini.

Seramai 30 pereka tempatan bersama koleksi terbaru mereka yang direka khas bagi kempen ini membabitkan aksesori buatan tangan, pakaian tradisional dan pakaian sukan turut serta dalam program yang berlangsung selama sebulan sejak 18 Oktober lalu.

Antara pereka terkenal yang terlibat ialah Bon Zainal, Habsah Saufi, AD, Amar Amran, Bujins, Rebel, JLA Diva, Huda Hassan dan HHM.

Pada majlis itu, pereka bagi jenama Carro, Mark Westwood dan Caroline Wass dianugerahkan Designer Awards.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dalam ucapannya berkata, selepas sebulan bertungkus-lumus, My Gaya Month turut berjaya menjalinkan kerjasama dengan gudang membeli-belah terkenal, Metrojaya dan Al Ikhsan serta penyedia pasaran dalam talian.

"Inilah yang dikatakan ‘push factor’ eco-system yang strategik yang dibina di bawah payung MBDA.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa MBDA akan terus mengetengahkan Kempen Beli Barangan Malaysia sebagai satu kerjasama yang berterusan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai satu jenama yang kukuh di tanah air dan di persada antarabangsa," katanya.