JBPM Selangor siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

Norazam
Norazam
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat meningkat persediaan kemahiran anggotanya menerusi latihan pengendalian dan penyelamatan di air dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan yang berlaku.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, langkah itu juga sebagai persediaan pihaknya dalam menghadapi situasi peralihan Monsun Timur Laut di Selangor bermula bulan ini sehingga awal tahun hadapan.

Beliau berkata, fokus latihan berkenaan adalah melibatkan kemahiran menyelamat mangsa terperangkap di air sama ada dalam situasi banjir atau kejadian kepala air.

"Kami telah rancang dan sedang melaksanakan latihan itu dalam kalangan anggota sebagai persediaan dalam meningkatkan kemahiran mereka untuk menghadapi situasi kecemasan di air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Norazam berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan JBPM Selangor dalam menghadapi peralihan Monsun Timur Laut di negeri ini susulan amaran banjir dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor sebelum ini.

Rabu lalu, UPBN Selangor mengeluarkan amaran banjir di beberapa lokasi melibatkan sembilan daerah negeri ini susulan daripada kadar taburan hujan yang diramalkan meningkat bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan.

Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya juga telah membuat persediaan logistik bagi memastikan tugas menyelamat sepanjang tempoh berkenaan tidak terganggu.

"Kami memang sudah buat persediaan bagi menghadapi sebarang situasi banjir dan sebagainya malah anggota turut melakukan pemantauan di lokasi berisiko," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, cuti anggota dan pegawai JBPM Selangor turut disusun semula bagi memastikan tugas pemantauan dan menyelamat tidak terganggu khususnya di lokasi berisiko.