X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Agong kurnia 163 darjah kebesaran, bintang dan pingat WP 2021

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 kepada 163 individu di Istana Negara pada Jumaat.

Turut berangkat pada istiadat sesi kedua itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim turut hadir.

Mendahului senarai sembilan penerima Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Penerima SMW yang lain ialah Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Seri Dr Yusof Ismail; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan; bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Dr Noordin Ab Razak dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique.

Pakar perubatan Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr Balachandran Kandasamy; Presiden Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrasound Malaysia, Datuk Seri Profesor Dr Paras Doshi; Pengarah Eksekutif Mah Sing Group Berhad, Datuk Seri Leong Yuet Mei dan Pengarah Urusan Jankah Corporation, Datuk Seri Gong Zen Chiang juga dikurniakan Darjah SMW.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim antara 38 penerima Darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Penerima PMW lain termasuk Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah; dua bekas jaguh badminton negara, Datuk Abdul Rashid Mohd Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit; serta Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Turut dikurniakan PMW, penggiat seni dan budaya, Datuk Yusry Abdul Halim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Lokman Omar serta Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Yasir Yahya.

Selain itu, seramai 22 individu dikurniakan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 41 Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 18 Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 35 penerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Sesi pertama pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 diadakan pada 23 Mac lepas.

Istiadat itu berlangsung dalam suasana norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka serta kerusi di Balairong Seri disusun dengan penjarakan fizikal. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!