Pemberi, penerima rasuah berada dalam kehinaan

Ishak Suliaman
Ishak Suliaman
A
A
A

SHAH ALAM - ALLAH SWT menekankan dalam al-Quran bahawa individu yang mengamalkan rasuah sama ada si pemberi atau penerima akan dilaknat serta berada dalam kehinaan.

Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Ishak Suliaman berkata, bukti kehinaan dalam surah al-Ankabut ayat 39 apabila ALLAH SWT menyatakan bahawa kartel politik dalam zaman Rasulullah SAW ialah adanya Qarun yang mewakili golongan kaya raya, kemudian Firaun dan kuasa politik.

“Rasulullah SAW menyebut tentang laknat, orang yang memberi dan menerima rasuah dalam semua bentuk dan disebut bahawa neraka yang paling layak untuk mereka.

“Tetapi persoalannya kenapa umat Islam masih ramai melakukannya? Ini sebenarnya ujian kepada semua apabila Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran dalam hadis menunjukkan bahawa kita akan diuji dengan pelbagai ujian terutama tentang kuasa.

“Adakah kuasa ini menyebabkan kita kembali menjadi hamba ALLAH SWT atau kita bertukar menjadi tuan kepada hamba. Inilah dahsyatnya manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Sinar Edisi ke-305 bertajuk ‘Cari Akar Hapus Budaya Rasuah’ yang disiarkan secara dalam talian di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis ialah Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Abu Hafiz Salleh dan penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, generasi muda yang sedang naik untuk memimpin negara sepatutnya melihat dan menjadikan pengajaran terbaik untuk jadi ikutan terutama berkaitan kes rasuah dalam kalangan pemimpin tertinggi.

Artikel Berkaitan:

“Oleh sebab inilah nilai agama, pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang adalah sangat penting.

“Apabila penguat kuasa pun takut untuk membuat pengaduan ke mahkamah, mana lagi yang ada? Jadi yang tinggal ialah keimanan dalam menolak rasuah,” ujar beliau.