Pengamal media berjaya bantu rakyat depani Covid-19

M Saravanan pada Majlis Anugerah Media Perkeso 2021 pada Khamis.
M Saravanan pada Majlis Anugerah Media Perkeso 2021 pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dunia kewartawanan dan pengamal media berjaya mengadaptasikan norma baharu sewaktu Covid-19 dengan baik berikutan perubahan digitalisasi yang berlaku lebih awal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, masing-masing juga berjaya memainkan peranan dalam membantu rakyat mendepani pandemik itu dengan menyalurkan informasi yang sahih dan terkini.

Ulasnya, kesemua berlaku selepas Covid-19 mengubah gaya hidup di seluruh dunia dengan norma baharu yang menekankan aspek penggunaan teknologi digital.

"Kita telah menyaksikan bagaimana semua organisasi media di negara ini terus memainkan peranan penting sewaktu negara dilanda pandemik.

"Lebih membanggakan, pengamal media kita kekal menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan terkini kepada rakyat Malaysia sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian,” katanya pada Majlis Anugerah Media Perkeso 2021 di sini pada Khamis.

Saravanan turut mengakui pengamal media telah banyak membantu Kementerian Sumber Manusia termasuk agensi-agensinya seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyampaikan maklumat terkini.

“Ini terutama mengenai bantuan dan inisiatif kerajaan sejak Covid-19 melanda negara pada tahun lalu,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media di atas jasa dan pengorbanan kepada negara terutama dalam waktu yang mencabar ini.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan amat menghargai usaha dan pengorbanan pengamal media yang menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan.

“Rakan-rakan media juga bersusah payah membuat liputan berita meskipun berdepan dengan ancaman Covid-19,” katanya.