Ekosistem dorong rakyat kompromi dengan rasuah

Abu Hafiz
Abu Hafiz
A
A
A

SHAH ALAM - Ekosistem rasuah yang wujud dalam negara telah membina jiwa masyarakat Malaysia untuk berkompromi dengan amalan keji tersebut.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Abu Hafiz Salleh berkata, ekosistem itu sebenarnya sudah berakar umbi sejak kecil lagi.

“Ekosistem yang wujud ini telah mendidik kita dari kecil untuk membesar dalam suasana, contohnya, tidak apa ambil RM10 sahaja sedangkan keadaan (rasuah) tersebut boleh menjadi lebih parah hingga membawa kematian.

“Misalnya, pembinaan bangunan besar yang berkompromi dengan kualiti barang akhirnya boleh menyebabkan keruntuhan dan kematian. Kita mungkin bukan terlibat secara langsung tetapi menjadi pemudah cara terhadap rasuah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Sinar Edisi ke-305 bertajuk ‘Cari Akar Hapus Budaya Rasuah’ yang disiarkan secara dalam talian di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis ialah Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Ishak Suliaman dan penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Abu Hafiz turut memaklumkan bahawa beberapa minggu lalu, Ketua Audit Negara mendedahkan sebanyak RM620 juta bajet yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 masih tidak dapat dikenal pasti ke mana dibelanjakan pada ketika itu.

“Sedangkan waktu tersebut rakyat sedang bertarung untuk hidup sehingga ada yang terpaksa mencatu makanan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang dibuang kerja dan mengangkat bendera putih, tetapi hari ini tidak ada satu sistem yang benar-benar berkesan untuk mencari di mana RM620 juta tersebut,” ujar beliau.