Zamzuri teruskan agenda selesai masalah banjir

Zamzuri beramah mesra dengan peniaga di salah sebuah pasar malam di DUN Rembia.
Zamzuri beramah mesra dengan peniaga di salah sebuah pasar malam di DUN Rembia.
A
A
A

Pertembungan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menguji aura bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Zamzuri Arifin.

Calon Perikatan Nasioal (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpengalaman menggalas jawatan tertinggi dalam MPAG selama 22 bulan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Khidmat yang pernah dicurahkan itu memberi beliau peluang memahami kehendak dan kemahuan rakyat khususnya di DUN Rembia yang berada di bawah Parlimen Alor Gajah.

Calon yang bakal disaingi beliau juga bukan calang-calang kerana akan berdepan penyandang kerusi itu yang juga calon Barisan Nasional (BN), calon Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas.

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Raiham Mohd Sanusi bersama Ketua Bersatu Bahagian Alor Gajah ini.

SINAR HARIAN: Sejak bila tuan mula menyertai politik dan kenapa?

ZAMZURI: Saya mula sertai politik sejak usia belasan tahun lagi namun hanya di belakang tabir. Saya muncul ke depan sekitar lima enam tahun kebelakangan ini selepas banyak isu-isu panas yang mengaitkan pemimpin negara ketika itu. Pada masa sama Tun Dr Mahathir Mohamad muncul semula dan saya sempat bertemu beliau. Saya antara yang terawal sertai parti ini.

Persaingan di DUN Rembia dijangka menarik perhatian ramai kerana saingan lima penjuru. Bagaimana tuan melihat peluang untuk menang di kerusi ini?

Artikel Berkaitan:

Saya akui dalam persaingan ini, ada tiga calon dari parti besar. Bagi saya setiap calon ada peluang untuk menang, saya berpendapat calon yang ada platform parti punyai lebih peluang. Pertandingan ini juga akan menguji PN yang menggabungkan beberapa parti iaitu Bersatu, Pas, Gerakan dan parti dari Sabah. Ini adalah ujian yang pertama untuk di Semenanjung. Walaupun gabungan parti ini masih baharu tetapi gerak kerja kita seolah-olah satu parti yang cukup dominan dan besar. Setiap hari jentera pilihan raya membantu lebih 100 orang dan mereka lakukan kerja-kerja pemasangan bendera serta edar risalah. Apapun, rakyat akan pilih siapa yang mereka mahukan.

Apa tumpuan dan pembaharuan yang tuan janjikan kepada pengundi?

Saya pernah menjalankan amanah sebagai YDP MPAG, namun dalam tempoh 22 bulan berkhidmat masih banyak agenda yang terhenti di tengah jalan selepas saya ditukarkan sebaik pertukaran kerajaan ketika itu. Oleh itu, saya berazam untuk teruskan semua agenda yang tergendala itu.

Zamzuri turut meluangkan masa menziarahi waris dan ahli keluarga yang baru kehilangan orang tersayang.
Zamzuri turut meluangkan masa menziarahi waris dan ahli keluarga yang baru kehilangan orang tersayang.

Apa agenda besar yang akan diberi keutamaan?

Saya akan menyelesaikan masalah banjir di Alor Gajah termasuk di DUN Rembia yang sudah lama berlarutan. Itu bukan bermaksud pemimpin atau pihak berkaitan sebelum ini tidak mencari jalan penyelesaian tetapi mungkin belum jumpa cara untuk selesaikannya. Ketika saya menjadi YDP MPAG, kami dapat mencari solusi menerusi reka bentuk sistem longkang dan perparitan. Pembinaan projek fasa pertama dapat disiapkan namun selepas itu saya ditukarkan dan tidak dapat meneruskan untuk fasa kedua dan ketiga. Ketika itu juga projek pembinaan kolam tebatan banjir telah diluluskan untuk dilaksanakan tetapi mungkin disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau tiada tindakan susulan menyebabkan ia tergendala. Jika semua komponen ini berjaya disiapkan, kemungkinan 80 peratus masalah banjir di Alor Gajah boleh diselesaikan. Inilah hasrat saya ketika di MPAG dan jika saya menang, isu ini akan diselesaikan dengan kerjasama seluruh agensi kerajaan.

Apakah projek pembangunan dan kemudahan yang dirancang untuk rakyat?

Ketika menjadi YDP MPAG saya bercadang untuk membina pusat sehenti kepada pengusaha industri kecil dan sederhana di kampung-kampung. Pada masa itu saya ada berbincang dengan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. Saya akan teruskan hasrat ini selain merancang untuk mewujudkan kompleks mini sukan. Saya pernah berjumpa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan waktu itu bajet diluluskan untuk pembinaan kompleks sukan di Melaka. Saya cadangkan ia dibina di Alor Gajah dan perkara itu hampir dipersetujui. Mereka minta MPAG carikan tanah sebagai tapak kompleks tetapi saya tidak dapat laksanakan kerana ditukarkan.

Menjelang hari pengundian, bagaimana dengan perkembangan kempen?

Alhamdulillah setakat ini kami telah mendekati hampir 80 peratus pengundi menerusi pelbagai platform dan dalam baki masa yang ada ini saya akan lengkapkan semuanya. Pasukan saya bersungguh-sungguh berusaha untuk capai kemenangan.

Dalam keadaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, bagaimana cara kempen dilakukan?

Platform media sosial adalah satu elemen paling penting ketika ini. Saya juga berkempen melalui poster dan agihan risalah yang dihantar terus ke rumah-rumah pengundi. Saya masuk ke kampung dengan menaiki motosikal dan bertemu pengundi sebagai cara menyantuni mereka.

Bagaimana pula maklum balas daripada pengundi, apa luahan hati mereka?

Mereka banyak meluahkan tentang kekecewaan berkaitan isu politik, mereka marah disebabkan ini janji-janji yang lepas tidak ditunaikan. Harapan mereka supaya ahli-ahli politik yang baharu ini melaksanakan satu revolusi politik. Sokongan mereka masih lagi bergantung kepada calon. Parti bukan penentu tetapi pengundi akan pilih calon yang sesuai dan orang tempatan supaya lebih mudah untuk bantu mereka. Itu faktor utama yang saya lihat. Insya-ALLAH saya akan cuba yang terbaik untuk memenangi hati rakyat.

PROFIL

Zamzuri
Zamzuri

Nama: Zamzuri Arifin

Umur: 52

Asal: Kampung Kelemak, Alor Gajah, Melaka

Pendidikan:

- Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik Universiti Aberdeen, Scotland

Jawatan:

- Setiausaha PN Melaka

- Setiausaha Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka

- Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah

- Pemangku Pengerusi Perbadanan Pertanian Melaka Sdn Bhd

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi https://pru.sinarharian.com.my/