10 perkara jadi taruhan Mohd Azrudin

Mengambil tahu masalah dihadapi golongan peniaga kecil.
Mengambil tahu masalah dihadapi golongan peniaga kecil.
A
A
A

Calon muka baru Perikatan Nasional (PN) bagi N15 DUN Pengkalan Batu, Mohd Azrudin Md Idris, tidak pernah gentar untuk berdepan tentangan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Pelbagai persiapan telah dilakukan bagi memastikan pengundi DUN ini memilihnya. Agenda pembangunan dan memartabatkan Pengkalan Batu menjadi salah satu fokus utama Mohd Azrudin dalam usaha membantu warga Pengkalan Batu.

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Sarinah Mat Kasim bersama calon muka baru PN untuk mengetahui lebih lanjut perancangannya terhadap kawasan yang ditandingi.

SINAR HARIAN: Apakah misi tuan pada PRN Melaka kali ini bagi DUN Pengkalan Batu?

MOHD AZRUDIN: Sebaik sahaja diberi kepercayaan menjadi calon N15 Pengkalan Batu, saya berhasrat untuk menjadikan DUN ini sebagai salah sebuah kawasan yang boleh membantu menarik lebih ramai pengunjung. Jika disebut Pengkalan Batu, pasti tidak semua orang tahu di mana lokasinya, malah ada rakyat Melaka sendiri pun tidak tahu, tetapi jika di sebut Melaka Sentral, Kipmall Bachang, Bazar Ramadan Peringgit, Hospital Besar Melaka, semua orang tahu. Inilah mercu tanda dalam kawasan DUN Pengkalan Batu. Selain itu, menjadi harapan saya, jika diberi peluang menang pada pilihan raya ini, saya bertekad untuk membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu kehidupan mereka, memulihkan ekonomi, memperkasakan modal insan dan memperhebatkan lagi mercu tanda dalam DUN ini.

Sebagai calon muka baharu, bagaimana tuan cuba untuk menarik pengundi terutamanya golongan muda?

Saya menjadikan ini sebagai salah satu kekuatan untuk memperkenalkan diri kepada warga Pengkalan Batu, terutamanya dalam kalangan anak muda. Banyak aktiviti yang kita telah lakukan bersama anak muda sebelum ini misalnya menubuhkan platform pertubuhan belia, koperasi belia dan kelab sukan khas untuk anak muda. Saya yakin, melalui program sebegini kita boleh berkongsi idea, pandangan dan menjalankan aktiviti sukan, rekreasi secara bersama. Selain itu, saya juga akan memberi fokus kepada peluang pekerjaan untuk anak muda. Saya juga merancang, melalui inisiatif program 1Belia 1 Kerjaya dengan kolaborasi bersama institusi kemahiran dan korporat akan dijadikan teras bagi membolehkan anak muda mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Mendekati jemaah masjid dan mendengar luahan hati mereka.
Mendekati jemaah masjid dan mendengar luahan hati mereka.

Apakah cabaran yang dilalui sepanjang berkempen dalam suasana norma baharu ini?

Cabaran terbesar kempen pada kali ini adalah kekangan untuk bertemu pengundi secara bersemuka. Saya yakin, bukan saya sahaja sebaliknya semua calon bertanding berdepan dengan masalah yang sama, tidak boleh berceramah, tidak boleh berucap, tidak boleh berkempen secara bersemuka. Semua cabaran ini kita jadikan sebagai penguat semangat untuk berjuang. Tetapi sudah menjadi tanggungjawab sebagai calon untuk memastikan segala amanat yang diberikan oleh pucuk pimpinan diterjemahkan kepada pengundi dengan sebaiknya. Selain menggunakan media sosial, saya guna strategi kempen alaf baharu yang bukan sahaja sampai kepada anak muda, tetapi kepada semua golongan dalam DUN Pengkalan Batu.

Apakah perubahan yang tuan ingin lakukan untuk rakyat di DUN Pengkalan Batu ini?

Sejujurnya saya tidak mahu menabur janji, namun sepertimana manifesto yang telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, PN akan membawa agenda Melaka Bangkit Gemilang yang menetapkan enam teras untuk pemerkasaan negeri Melaka. Bagi saya sendiri, sebanyak 10 perkara akan menjadi fokus untuk meningkatkan keterampilan DUN Pengkalan Batu, antaranya penyelesaian masalah banjir dan kepadatan Hospital Besar akan menjadi perkara tunjang untuk diatasi jika diberi mandat. Saya juga akan memberi fokus kepada pemulihan ekonomi rakyat, keselamatan rakyat dan urus tadbir yang seimbang, layanan sama rata serta bebas rasuah. Rakyat adalah keutamaan kami, jadi sebaik sahaja memenangi kerusi N15 nanti, perkara utama yang perlu dilakukan adalah turun padang dan bekerja untuk rakyat.

Apa kelebihan dan keistimewaan yang tuan ada, tetapi tidak ada pada calon lain?

Saya lahir dalam keluarga politik besar dalam negeri Melaka. Ibu saya adalah mantan Ketua Wanita UMNO selama 22 tahun iaitu, Datuk Hazizah Mohd Sultan. Bagi saya kelebihan ini merupakan satu ‘bonus’ berbanding calon lain. Bekerja untuk rakyat sudah menjadi darah daging, malah sudah sebati dalam jiwa saya.

Apakah harapan tuan untuk PRN Melaka kali ini?

Harapan saya semoga pengundi di DUN Pengkalan Batu memberi peluang, ruang dan kepercayaan kepada saya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut untuk membuktikan bahawa PN mampu mengubah Melaka ke arah yang lebih berintergiriti. Melaka Bangit Gemilang bersama Perikatan Nasional!

PROFIL

Mohd Azrudin Md Idris
Mohd Azrudin Md Idris

Nama: Mohd Azrudin Md Idris

Umur: 40 tahun

Tempat lahir: Melaka

Pendidikan:

- Sarjana Muda Pengurusan, Universiti Open Malaysia (final semester)

- SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru

Penglibatan politik:

- Bendahari Bersatu Negeri Melaka

- Bendahari Perikatan Nasional Melaka

- Pengerusi Persatuan Angkatan Perpaduan Bersatu

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi https://pru.sinarharian.com.my/