X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Lihat semula keperluan pesawat baharu

Pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas pada malam Selasa di Pengkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang sehingga meragut nyawa juruterbangnya.
A
A

INSIDEN pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas pada malam Selasa di Pengkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang sehingga meragut nyawa juruterbangnya menimbulkan persoalan, adakah ia kesalahan individu atau jangka hayat pesawat itu sendiri?

Mengikut rekod, pesawat Hawk mempunyai rekod penerbangan yang baik kerana kita sudah menggunakannya selama 26 tahun.

Sehingga kini, terdapat 19 pesawat Hawk yang masih beroperasi di bawah tiga skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron. Pesawat Hawk mampu terbang di udara selama dua jam dengan kelajuan 1,600 kilometer sejam.

Mengimbas kembali kejadian kira-kira jam 10.07 malam itu, pesawat Hawk yang sedang melakukan latihan penerbangan terhempas hingga mengorbankan juruterbang, Kapten Mohamad Affendi Bustamy, manakala Mejar Mohd Fareez Omar dilaporkan selamat dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkongsi pandangan kemungkinan kemalangan itu disebabkan faktor keselamatan adalah tipis kerana Mohamad Affendi merupakan juruterbang berpengalaman.

Ia dibuktikan dengan Anugerah Green Endorsement TUDM yang diterima Mohamad Affendi minggu lalu. Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan kerana berjaya melakukan tindakan yang membolehkan pesawat berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan.

Malah, TUDM sendiri telah memastikan persediaan yang baik dari segi latihan dan penerbangan.

Dalam aspek pesawat itu sendiri, selepas 26 tahun digunakan, faktor tersebut juga menjadi kemungkinan tragedi berdarah itu berlaku.

Jadi, tiba masanya kerajaan mengambil kira memperbetulkan semula skop perolehan dan pengurusan program pertahanan udara kerana insiden malam Selasa lalu bukan kali pertama berlaku melibatkan pesawat Hawk.

Mengikut rekod, sejak 1996, pesawat Hawk terlibat dengan sembilan insiden terhempas termasuk pendaratan cemas, kali terakhir pada 15 Jun 2017 ketika sebuah pesawat pejuang Hawk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan jam 11.30 pagi. Dua juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat itu terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.

Rentetan daripada peristiwa yang baru berlaku itu, keputusan menggantung penggunaan pesawat pejuang Hawk akan ditentukan selepas siasatan khas tragedi tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang ketetapan juga akan dibuat berdasarkan laporan terperinci daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Udara (PTU), Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Berdasarkan apa yang berlaku tiga hari lalu, pengurusan program dan kewangan berkaitan perolehan perlu ditambah baik walaupun pertahanan udara negara tidak lemah.

Malah, kerajaan perlu segera memperbetulkan semula skop perolehan dan ambil kira hasil penyelidikan Transparency International (TI) yang pernah memberi mata atau gred D kepada Malaysia dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI).

GDI menilai negara-negara dan institusi pertahanan serta menilai sejauh mana kawalan dalam menguruskan risiko rasuah merentasi lima bidang risiko utama pertahanan iaitu penggubalan dasar dan hal ehwal politik, kewangan, pengurusan kakitangan, operasi ketenteraan serta perolehan.

Antara pemerhatian lain mengapa skor Malaysia rendah adalah pengawasan undang-undang yang lemah terhadap belanjawan, bidaan berdaya saing rendah untuk perolehan, tiada ombudsman bebas bagi menangani aduan dan kurang ketelusan data.

Menerusi Bajet 2022, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM16.14 bilion bagi tahun 2022, meningkat kira-kira 1.78 peratus berbanding peruntukan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM11.10 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pengurusan (OE) dan RM5.04 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Mungkin melalui bajet yang diperuntukkan itu, TUDM mampu memperoleh aset baharu dalam usaha memperkukuhkan lagi pertahanan udara negara, sekali gus mengelak tragedi sama berulang.

*Mohd Rizal Mohd Rozy ialah Penerbit Program, Sinar Harian


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!